Full Width CSS

KPDNKK Senarai 18 Barangan Harga Terkawal Sempena Krismas

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menyenaraikan 18 jenis barangan di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan sempena Krismas yang akan disambut 25 Dis ini.

Menterinya Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata skim yang akan dilaksanakan bermula 19 hingga 28 Dis itu, melibatkan enam hari sebelum perayaan, hari perayaan dan tiga hari selepas perayaan adalah di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
Beliau berkata barangan disenaraikan ialah ayam hidup, ayam standard, ayam super, ayam tua hidup (harga maksimum di Sarawak sahaja), ayam Belanda import, kepak ayam (Sabah, Sarawak dan Labuan sahaja), daging kambing tempatan bertulang (Semenanjung sahaja), daging kambing/biri-biri import tanpa tulang.

Selain itu, daging paha kambing/biri-biri import bertulang (Semenanjung sahaja), telur ayam gred A, gred B dan gred C, tomato, lada benggala hijau, babi hidup (kawalan di peringkat ladang sahaja), daging babi (perut) dan daging babi (daging dan lemak) (Sabah, Sarawak dan Labuan sahaja) juga termasuk dalam skim kawalan harga.

Beliau berkata atanya pada sidang media di sini.

Datuk Seri Hamzah berkata harga maksimum ini ditentukan di 89 daerah atau kawasan di Semenanjung; 32 di Sarawak dan 27 di Sabah dan satu di Wilayah Persekutuan Labuan.

Beliau berkata ia adalah tindakan berterusan dalam usaha melindungi pengguna daripada aktiviti pengambilan keuntungan yang berlebihan oleh peniaga tidak beretika sepanjang musim perayaan.

Datuk Seri Hamzah berkata peniaga yang menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000 manakala bagi syarikat boleh didenda sehingga RM500,000.

Peniaga yang gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal boleh didenda mahkamah sehingga RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5,000 dan bagi syarikat boleh didenda sehingga RM20,000 atau dikompaun sehingga RM10,000, katanya.

Post a Comment

0 Comments