Full Width CSS

Ketua Pemuda UMNO Kongsikan Info Mengapa Cadangan Halang Motorsikal Ke KL Dibuat


Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan (PPUWP) mengikuti artikel yang diterbitkan di ruangan portal dan blog atas talian mengenai cadangan Menteri Wilayah Persekutuan YBM Datuk Seri Utama Tengku Adnan Bin Tengku Mansor menghalang kemasukan motorsikal ke bandaraya Kuala Lumpur.

Di sini PPUWP ingin berkongsi info hasil daripada penerangan wakil pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkenaan cadangan tersebut. Perkara yang diutarakan oleh YBM Menteri Wilayah hanyalah sekadar cadangan dan tiada dalam perancangan untuk dilaksanakan dalam masa terdekat. Kerana segala cadangan dan pelaksanaannya, perlulah mengambil kira pelbagai faktor dan hal-hal yang dirasakan berbangkit di mana kemungkinan bakal membebankan rakyat khususnya.
Malaysia sedang berusaha menuju ke satu peringkat berstatus negara maju. Bagi merealisasikan hasrat ini, Kuala Lumpur khususnya perlu merangka dan melaksanakan pelbagai bentuk agenda pembangunan serta kemudahan yang bakal dinikmati seluruh warganya.

Seperti yang pernah diucapkan oleh Perdana Menteri Dato’ Sri Najib Tun Razak bahawa negara semakin menghampiri tahun 2020, Malaysia memerlukan wadah baharu bagi meneruskan perjuangan membangunkan negara ini. Banyak program dan rangka kerja seperti Rancangan Malaysia ke-11 dan Dasar Transformasi Nasional (DTN) dilaksanakan dalam usaha mencapai status negara maju.

Menghalang kemasukan motorsikal masuk ke bandaraya Kuala Lumpur tersebut merupakan salah satu cadangan yang mana ia tidak boleh dilaksanakan secara tergesa-gesa dalam tempoh singkat sebelum kajian pelaksanaan secara terperinci dijalankan. Ianya hanya akan dapat dilaksanakan selepas rakyat dapat menerima dan menggunakan perkhidmatan awam secara efisyen.

Ini termasuklah penyediaan sistem pengangkutan awam yang berjaya menghubungkan kawasan-kawasan pinggir bandar Kuala Lumpur ketika itu. Segala keputusan dan hasil kajian akan dibawa kepada Mesyuarat Kabinet sebelum diputuskan.

Apa yang paling penting adalah tambang pengangkutan awam yang dikenakan dikenakan terhadap pengguna perlulah murah dan berbaloi jika hendak dibandingkan hari ini, dan sekiranya mengambil kira semua faktor ini, ianya mungkin akan terlaksana 10 tahun sehingga 15 tahun dari sekarang.

PPUWP berharap cadangan yang diutarakan oleh YBM Menteri Wilayah tidak dijadikan bahan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk membangkitkan kebencian terhadap pemimpin dan kerajaan khususnya.

PPUWP juga berharap supaya rakyat melihat jauh ke hadapan wawasan negara maju dan tidak hanya bermain dengan spekulasi yang akhirnya tidak membawa kita ke mana-mana sekalipun.

MOHD RAZLAN BIN MUHAMMAD RAFII
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan

Post a Comment

0 Comments