Tuesday, July 25, 2017

Jangan Lupa Doakan Malaysia - PM @NajibRazak


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meminta jemaah haji yang bakal ke Tanah Suci untuk menunaikan ibadah haji tahun ini agar mendoakan Malaysia terus aman dan meraih lebih banyak lagi kejayaan di persada dunia.

"Lakukan ibadah haji sebanyak mana dan yang terdaya. Jangan lupa berdoa demi negara Malaysia kita tercinta. Berdoalah semoga Allah sentiasa memberi rahmat kepada negara kita agar menjadi sebuah negara yang aman, berjaya, yang akan terus disanjung tinggi oleh semua pihak.
"Semoga yang pergi haji ini akan mendapat haji yang mabrur. Selamat berlepas dan selamat kembali. Moga dapat lakukan ibadah haji dengan aman dan tenang," katanya ketika berucap sebelum melepaskan kumpulan kedua jemaah haji Malaysia di Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya.

Turut hadir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Pengerusi Tabung Haji Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Duta Besar Arab Saudi di Malaysia Mahmoud Hussen Qattan.

Kumpulan kedua jemaah haji itu membabitkan 420 orang berlepas 9.30 malam ini manakala lebih 400 orang daripada kumpulan pertama jemaah haji telah berlepas kira-kira pukul 6 pagi tadi.

Pada musim haji tahun ini, sejumlah 112 penerbangan disediakan untuk membawa 30,200 jemaah haji ke Tanah Suci menerusi penerbangan Malaysia Airlines Berhad dan FLYNAS, dengan penerbangan terakhir dijadual 26 Ogos ini.

Datuk Seri Najib menarik perhatian, akhlak dan tingkah laku jemaah negara yang baik dan mematuhi arahan sewaktu menunaikan ibadah di Makkah antara faktor yang menyumbang kepada kuota tambahan yang diberikan kepada Malaysia tahun ini oleh kerajaan Arab Saudi.

"Kita di Malaysia ini dapat banyak keistimewaan. Jangan fikir yang pipih datang melayang, yang bulat datang bergolek, tidak. Ini berlaku kerana usaha dilakukan kerajaan Malaysia.

"Bukan saya hendak dapatkan semua (penghargaan itu), tidak, ini semua kerana jemaah haji kita yang akhlaknya baik, tingkah laku baik, sikapnya yang baik, boleh jadi contoh kepada yang lain," katanya.

No comments:

Post a Comment

komen² anda akan dipublish setelah disahkan..

terima kasih daun keladi..
esok² sudi la komen lagi..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...