Full Width CSS

Pembangkang Jangan Auta Rakyat Lagi - @razlanrafii


Formula ‘Air Percuma’ untuk rakyat yang digembar-gemburkan oleh PKR Selangor sebelum dan selepas berjaya merampas Selangor daripada kerajaan Barisan Nasional (BN) sememangnya merupakan perkara yang benar-benar menghantui BN ketika itu.

Ketika itu, banyak pihak fikirkan bahawa seluruh rakyat Selangor akan menerima air PERCUMA untuk setiap rumah. Perkataan PERCUMA telah berjaya mempengaruhi ramai pengundi sehingga jatuhnya kerajaan BN Selangor kepada PKR. Namun realitinya, lebih kurang RM 7 sahaja jumlah air percuma yang ditawarkan kepada rakyat Selangor.
Sekiranya hendak dibandingkan dengan kemudahan yang telah disediakan oleh kerajaan BN, ianya terlalu banyak subsidi. Telefon rumah (talian tempatan) sahaja percuma RM 20 setiap rumah, eletrik juga diberi percuma setiap rumah untuk had-had tertentu, bekalan baja, klinik kesihatan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia, ditambah lagi dengan pinjaman percuma untuk peminjam PTPTN yang dapat kelas pertama dan banyak lagi subsidi yang kerajaan sediakan untuk rakyat dan kita rasainya hari ini. Sama ada sedar ataupun tidak sahaja.

Cuma masalah yang amat ketara kita lihat hari ini adalah kerajaan BN tidak pandai menjual perkataan PERCUMA kepada rakyat sehingga ramai yang terlupa apa yang telah disediakan selama ini. Peliknya kerajaan BN juga tidak sanggup menipu rakyat dengan menjaja perkataan PERCUMA seperti banyak promosi jualan murah yang mempunyai banyak tipu helah seperti ada udang di sebalik batu.

Hari ini, Pembangkang jaja lagi cerita yang ‘syok’ didengari halwa telinga rakyat iaitu penghapusan Goods and Services Tax (GST). Semua ini dilakukan hanya untuk menarik minat rakyat bagi memilih parti Pembangkang pada Pilihanraya Umum (PRU) akan datang.

Terdapat kajian yang menunjukkan bahawa negara yang melaksanakan GST, berkemungkinan kerajaan yang memimpin akan tumbang kepada Pembangkang dan bukti jelas menunjukkan selepas Pembangkang menjadi kerajaan Persekutuan negara tersebut, GST tidak dihapuskan seperti yang telah dijanjikan. Tapi sekiranya Pembangkang di Malaysia mengatakan mereka mahu menghapuskan GST, mereka perlu tunjukkan terlebih dahulu bagaimana mereka melakukan perkara demikian di negeri-negeri yang ditadbir oleh mereka hari ini.

Pembangkang fikir untuk mengurus tadbir sebuah negara seperti bermain ‘pondok-pondok’. Sewenang-wenangnya mahu menghapuskan GST yang banyak menyumbangkan kepada pendapatan negara hari ini. Konsep ekonomi amat mudah difahami, sekiranya asas pendapatan negara dihapuskan, bagaimana pula hendak menampung perbelanjaan negara yang semakin berkurangan?

Adakah dengan memberhentikan puluhan ribu kakitangan dan penjawat awam di seluruh negara dapat membantu kerajaan menstabilkan pendapatan negara? Kemungkinan hal ini boleh berlaku disebabkan DAP pernah menyuarakan hasrat tersebut kerana dirasakan ianya pembaziran.

Banyak sudah janji Pembangkang yang akhirnya membawa kepada padah dan kesengsaraan kepada rakyat. Lihat sahaja apa terjadi di Pulau Pinang, kos kehidupan rakyat meningkat tinggi, caj air naik, cukai pintu meningkat mahal. Jika boleh, semua cukai mahu dinaikkan untuk menampung perbelanjaan kerajaan negeri Pulau Pinang terutamanya bab penyediaan kertas kerja bernilai ratusan juta Ringgit Malaysia yang dibisukan oleh kepimpinan DAP negeri mahupun pusat hari ini. Rumah mampu milik, jangan disebut kerana sememangnya tidak akan dibina di sana kerana ianya tidak menguntungkan kerajaan negeri. Lebih baik bangunkan projek rumah kondominium yang boleh dibeli oleh golongan kaya sahaja. Golongan berpendapatan rendah dan sederhana boleh berhijrah keluar dari Pulau Pinang. Itu yang diharapkan DAP sebenarnya.

Diharapkan kita tidak termakan dengan janji-janji ‘jualan murah’ ini sehingga kita terlupa apa yang bakal kita perolehi nanti. Banyak yang telah kita lihat dan perlu diambil iktibar. Buat rakyat Malaysia, harus diingat tiada negara di dunia yang sempurna untuk didiami dan tiada negara yang menawarkan semua benda dan perkara percuma.

Fikir dahulu sebelum membeli, kelak nanti menangis tak berhenti-henti


MOHD RAZLAN BIN MUHAMMAD RAFII
Ketua Pemuda UMNO / Barisan Nasional Wilayah Persekutuan

14 Julai 2017

Post a Comment

1 Comments

komen² anda akan dipublish setelah disahkan..

terima kasih daun keladi..
esok² sudi la komen lagi..