Full Width CSS

Part I : Masalah Manifesto Ekonomi Pakatan - Isham Jalil #NegarakuMalaysia #TolakPH


Pada Ahad lalu, Pakatan Harapan (PH) mengumumkan manifesto mereka untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Satu aspek penting manifesto ini ialah masalah kos sara hidup dan cukai dengan menuding jari menyalahkannya ke atas dasar kerajaan persekutuan.

Bagaimanapun, jika mereka serius untuk menangani masalah kos sara hidup dan cukai, mungkin mereka patut mencari jalan menyelesaikannya di kedua-dua negeri di bawah pentadbiran mereka iaitu Selangor dan Pulau Pinang.

Dua minggu sebelum ini iaitu pada 26 Disember 2017, sehari selepas sambutan Krismas, Pejabat Menteri Besar (MB) Selangor bertungkus lumus menjawab pandangan tegas saya bahawa cukai berkaitan hartanah adalah penyebab utama kenaikan kos sara hidup di Selangor.

MB Selangor, Datuk Seri Azmin Ali enggan menerima pandangan saya dan seperti biasa menyalahkan Putrajaya dan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) atas kenaikan kos sara hidup. Beliau juga menyiarkan kenyataan di Facebook berbunyi 'Putrajaya melaksanakan dasar ekonomi yang salah.'

Kos sara hidup tinggi

Ketika memberi hujah menolak pandangan saya, beliau dan jentera pejabatnya mendakwa cukai hartanah tidak menyebabkan kenaikan kos sara hidup di negeri itu. Tetapi baru-baru ini, mereka sudah menggerakkan inisiatif mengurangkan cukai hartanah dengan memberikan pengecualian cukai kepada penduduk kampung dan pemilik rumah kos rendah selain mengenakan bayaran nominal RM1,000 bagi mereka yang tidak mampu membayar cukai taksiran.

Bagaimanapun, inisiatif di atas hanya mula dilaksanakan pada 2016 sedangkan kos sara hidup telah melonjak tinggi di Selangor sejak pakatan pembangkang mengambil alih kerajaan negeri lebih sembilan tahun lalu mulai 2008. Kenaikan ketara kos sara hidup berlaku di antara 2008 hingga 2011, beberapa tahun sebelum GST mula dilaksanakan.

Tambahan lagi, inisiatif kerajaan Selangor pada 2016 tersebut hanya tertumpu kepada penduduk luar bandar seperti yang dinyatakan oleh Pejabat MB yang mana beberapa ratus ribu penduduk kampung diberi pengecualian cukai taksiran.

Namun demikian, bagaimana pula dengan penghuni di bandar dan pekan yang meliputi lebih 80 peratus penduduk Selangor? Penghuni pangsapuri dan kediaman bandar yang terpaksa membayar cukai pintu dan cukai taksiran yang lebih tinggi sejak 2008? Merekalah yang paling banyak menerima kesan kenaikan kos sara hidup. Majoriti penduduk Selangor yang tinggal di bandar, paling merasai impak kenaikan mendadak harga hartanah dan kadar sewa di Selangor kerana dasar kerajaan negeri.

Meskipun, negeri lain juga mengalami kenaikan kos sara hidup, ia tidak sebesar seperti di Selangor dan Pulau Pinang. Kedua-dua negeri ini mengalami kenaikan tertinggi kos sara hidup selari dengan kenaikan cukai berkaitan hartanah sejak Pakatan mengambil alih kerajaan negeri pada 2008.

Ketika berucap membentangkan Bajet 2018 Selangor baru-baru ini, Azmin berkata, kerajaan negeri mengutip pendapatan cukai kira-kira RM2.25 bilion. 77 peratus daripada kutipan ini adalah daripada premium tanah, cukai pintu dan yuran berkaitan premis perniagaan. Ketika pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN), kadar cukai yang dikutip daripada sumber di atas adalah kurang daripada separuh daripada itu.

Pejabat MB juga baru-baru ini, menyatakan bahawa cukai berkaitan hartanah tidak meningkat dalam tempoh 14 tahun. Jika itu benar, dari mana datangnya perolehan pendapatan yang besar daripada cukai di atas?


Naikkan cukai

Selepas mengambil alih daripada BN, kerajaan pakatan di Selangor dan Pulau Pinang memutuskan untuk meningkatkan pendapatan dengan menaikkan cukai berkaitan hartanah, termasuk premium tanah dan cukai pengezonan semula. Sejak itu, kenaikan cukai kerajaan tempatan di kedua-dua negeri ini mencecah sehingga 400 peratus. Cukai pengezonan semula sudah melonjak naik sehingga 50 peratus manakala premium tanah sehingga 300 peratus.

Laporan Ketua Audit Negara menunjukkan, kenaikan hampir dua kali ganda kutipan keseluruhan premium tanah antara 2009 dan 2010 di Selangor. Trend peningkatan ini berterusan untuk tempoh lima tahun seterusnya.

Pada 2015, kerajaan Pakatan di Selangor mengutip RM1.7 bilion menerusi premium tanah dan cukai pintu berbanding RM700 juta pada 2008. Ini adalah peningkatan tahunan kutipan cukai berkaitan hartanah sebanyak RM1 bilion dalam tempoh kurang tujuh tahun berbanding ketika pentadbiran BN.

Di Pulau Pinang, antara tahun 2008 dan 2009, kutipan premium tanah meningkat hampir tiga kali ganda daripada RM19 juta kepada RM54 juta dalam tempoh setahun selepas Pakatan mengambil alih pentadbiran. Pada 2015, kerajaan negeri mengutip RM414 juta cukai premium tanah iaitu peningkatan lebih 20 kali ganda dalam masa kurang daripada tujuh tahun.

Di negeri yang ditadbir BN, kadar kutipan cukai berkaitan hartanah adalah lebih rendah dibandingkan di Pulau Pinang dan Selangor. Contohnya, pada 2016, Kedah mengutip sejumlah RM262 juta bagi cukai berkaitan hartanah, Perak (RM385 juta), Johor (RM720 juta) dan Pahang (RM297 juta).

Caj lebih tinggi

Pada November 2010, kerajaan Pakatan di Selangor memperkenalkan, Peraturan Yuran Pembangunan yang mengenakan caj sebanyak 20 hingga 30 peratus ke atas semua pembangunan hartanah termasuk bagi perumahan dan hartanah komersial. Ini meningkatkan lagi kos dan harga projek perumahan baharu.

Di Kuala Lumpur, tidak dinafikan cukai hartanah juga tinggi. Bagaimanapun, Kuala Lumpur hanyalah kawasan yang kecil berbanding negeri lain seperti Selangor dan kebanyakan penduduk yang bekerja di Kuala Lumpur tidak bermastautin atau membeli rumah di Kuala Lumpur kerana mereka tinggal di Selangor.

Umumnya, ketika siang, seramai tiga juta orang berada di sekitar Kuala Lumpur tetapi jumlah ini menurun kepada kira-kira satu juta selepas waktu pejabat.

Di Shah Alam dan Subang di Selangor, kerajaan Pakatan meningkatkan cukai taksiran sebanyak 10 kali ganda sejak beberapa tahun lalu ke atas penduduk di Kampung Baru Sungai Buloh dan Kampung Baru Subang yang dikutip oleh Majlis Perbandaran Shah Alam (MBSA). Dalam satu kes, seorang penduduk yang membayar cukai taksiran RM1,470 pada 2011 diminta membayar RM23,040 pada 2013.

Di Pulau Pinang, caj pembangunan yang sebelum ini RM5 satu kaki persegi bagi unit kediaman dan RM7 sekaki persegi bagi unit komersial sebelum 2008, meningkat tiga kali ganda kepada RM15 sekaki persegi dan RM21 sekaki persegi selepas 2008.

Malah, sumbangan yuran perparitan sebanyak RM10,000 seekar ketika pentadbiran BN dinaikkan kepada RM50,000 seekar oleh kerajaan negeri Pakatan. Semua caj ini mendorong kepada kenaikan harga rumah di Pulau Pinang dan pembeli rumah yang terpaksa menanggungnya.

Peningkatan ketara perolehan cukai hartanah yang dikutip kerajaan Selangor dan Pulau Pinang ini adalah sebenarnya datang daripada saku penduduk di kedua-dua negeri ini yang dikenakan cukai setinggi 10 ke 20 kali ganda sekarang berbanding ketika pentadbiran BN.

Peningkatan cukai berkaitan hartanah telah menyebabkan kesan domino ke atas kos sara hidup di Selangor dan Pulau Pinang. Ia meningkatkan harga rumah dan premis perniagaan yang seterusnya membawa kenaikan harga barangan dan perkhidmatan dan mengurangkan pendapatan penduduk di kedua-dua negeri itu untuk berbelanja. Kita tidak boleh membiarkan perkara ini berlanjutan, kita perlu lakukan sesuatu.

Penulis
Isham Jalil,
Pegawai Khas Perdana Menteri
Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri.

Bersambung..
Part II : Cukai Hartanah Turun Jika BN Menang Di Selangor

Post a Comment

0 Comments