Full Width CSS

Kerajaan Tak Berjanji Tapi Terus Turunkan Kadar Harga Tol Di Link Kedua #KekalNajib #BetterNation


Kerajaan bersetuju me­ngurangkan kadar levi dan tol di laluan kedua Malaysia-Singapura (LinKedua) berkuat kuasa 13 Februari ini yang dijangka dapat mengurangkan ken­deraan komersial di Tambak Johor sebanyak 40 peratus.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pengurangan bayaran itu diyakini ber­upaya memberi impak positif dan kelebihan selain membantu me­ngukuhkan ekonomi Malaysia.

Berikutan pengurangan itu, levi kenderaan komersial di Linkedua adalah RM50 bagi ke­dua-dua laluan keluar dan masuk ke Malaysia berbanding antara RM100 hingga RM200 ketika ini manakala caj tol di luar waktu puncak iaitu antara pukul 10 pagi hingga 3 petang dan pukul 11 malam hingga 5 pagi untuk semua kenderaan kecuali motosikal pula dikurangkan antara 47 peratus hingga 82 peratus mengikut kelas kenderaan.

Kadar untuk kenderaan per­sendirian dikurangkan daripada RM7.50 kepada RM4, teksi daripada RM5.70 kepada RM3, bas daripada RM9.10 kepada RM4.50 manakala kenderaan komersial bagi kedua-dua kelas 2 dan 3 dikurangkan daripada RM17.10 dan RM34.30 kepada RM4.50 dan RM6.10, sama seperti kadar di Tambak Johor.

Menurut Perdana Menteri, Malaysia dan Singapura sebelum ini sudah mengadakan perbinca­ngan mendalam dan langkah itu diputuskan bagi menyelesaikan isu kesesakan yang berlaku di Tambak Johor selain menggalakkan kedatangan pelancong Si­ngapura dan negara lain ke Johor untuk membeli-belah serta pelbagai urusan lain.

“Ini kerana 50 peratus pelancong yang datang ke Malaysia adalah dari Singapura termasuk pelancong negara lain yang turun di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi.

“Perkara ini telah diputuskan dalam mesyuarat Kabinet dan difahamkan Singapura juga akan ambil langkah sama,” katanya selepas Majlis Pe­mimpin Bersama Rakyat dan Majlis Penyerahan lampu Jalan Kampung Fasa 8 Negeri Johor di Padang Awam Bukit Mor, di sini hari ini.

Yang turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Ahli Parlimen Muar, Datuk Seri Razali Ibrahim dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Balang, Zaiton Ismail.

Najib menegaskan, langkah itu bukan gula-gula untuk pilihan raya umum, sebaliknya sudah lama dirancang dan dibincangkan antara dua negara bagi memberi manfaat kepada rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura kerana terdapat yang terpaksa bangun pukul 3.30 pagi untuk pergi be­kerja di negara itu setiap hari.

Katanya, kerajaan juga bersetuju meningkatkan kekerapan perkhidmatan ulang alik Shuttle Tebrau daripada 26 kepada 31 perjalanan setiap hari bagi membolehkan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) membawa 1,500 penumpang tambahan menyeberangi Tambak Johor yang ketika ini berjumlah 7,783 orang sehari.

“Perkhidmatan ini memberi pilihan kepada penumpang yang dapat menjimatkan masa hanya lima minit perjalanan berbanding antara 45 minit hingga dua jam menggunakan bas. Ini adalah langkah jangka pendek sebelum laluan RTS (Sistem Transit Rapid) sepanjang empat kilometer siap.

Sementara itu Pejabat Perdana Menteri menerusi satu kenyataan memaklumkan, kerajaan telah merumuskan beberapa langkah untuk mengurangkan kesesakan di Tambak Johor dengan perkara berkenaan dibincangkan secara mendalam semasa Sesi Pemukiman Pemimpin Malaysia-Si­ngapura di Singapura bulan lalu.

Langkah lain yang sedang diambil oleh kerajaan adalah menerusi pembinaan projek RTS Johor Bahru-Singapura yang akan menghubungkan stesen Bukit Chagar di Johor Bahru dan Woodlands North, Singapura.

“Perkhidmatan ini dijangka dapat beroperasi pada 2024 dan membawa 10,000 penumpang dari satu arah dalam masa satu jam. RTS dijangka mengurangkan masa perjalanan antara kedua-dua negara kepada 30 minit berbanding le­bih sejam pada masa ini," katanya.

Kenyataan itu turut memaklumkan kerajaan Malaysia dan Singapura telah pun menyerahkan surat tawaran kepada syarikat yang akan membina dan me­ngendalikan perkhidmatan RTS.

Bagi menambah baik pengurusan trafik di Tambak Johor, kerajaan turut menubuhkan Pasukan Petugas Peringkat Tertinggi yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk mengenal pasti dan membincangkan langkah penyelesaian jangka panjang termasuk mengadakan satu pusat pemeriksaan antara Malaysia dan Singapura.

Post a Comment

1 Comments

  1. Undilah Pas jika anda betul2 sayangkan Islam.

    ReplyDelete

komen² anda akan dipublish setelah disahkan..

terima kasih daun keladi..
esok² sudi la komen lagi..