Thursday, March 29, 2018

Strategi DAP Tawan Johor #BetterNation #KN


LANGKAH bersungguh-sungguh DAP untuk menawan lebih ba­nyak kerusi di Johor turut diulas akhbar Sin Chew Daily bertarikh 20 Mac 2018.

Artikel bertajuk Beradu nasib yang terakhir buat Lim Kit Siang yang ditulis oleh Lim Swee Guan disiarkan dalam ruangan Pendapat Yanlu halaman 17.

Pada PRU-14, DAP sekali lagi meletakkan sasaran untuk ‘menakluk’ Johor dengan mengerahkan lebih ramai pemimpin kanan parti itu untuk bertanding di ­negeri berkenaan.
Dijangka strategi DAP di Johor hampir sama dengan taktik digunakan ketika PRU-13. Pertama, lima tahun lepas, Penasihat parti itu, Lim Kit Siang memilih Parlimen Gelang Patah sebagai lokasi utama untuk ‘menyerang’ negeri berkenaan.

PRU kali ini, DAP memilih kawasan Parlimen Ayer Hitam. Yang berbeza pada PRU-13, UMNO pada saat-saat akhir meletakkan calon daripada parti itu iaitu Menteri Besar Johor, Tan Sri Abdul Ghani Othman untuk melawan Kit Siang di kawasan tradisi MCA ber­kenaan.

Pada PRU-14, Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong akan bertanding di Parlimen Ayer Hitam yang kerusi itu bakal dipertahankan Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong.

Kedua, DAP telah mengerahkan pemimpin-pemimpin muda parti itu untuk bertanding di kawasan-kawasan bandar di Johor. Pada PRU-13, Kit Siang turut di­sertai Chin Tong dan calon wa­nita yang juga penyandang kerusi Parlimen Serdang, Teo Nie Ching sehingga membolehkan mereka menawan Parlimen Gelang Patah, Kluang dan Kulai.

Kali itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Damansara Utama, Yeo Bee Yin; Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo dan Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Hannah Yeoh disebut-sebut akan bertanding di negeri berkenaan.

Baru-baru ini, Kit Siang ada membuat kenyataan bahawa ti­a­da kawasan selamat bagi pemim­pin-pemimpin DAP dan mereka perlu bersedia mengambil risiko.

Kenyataan itu memberi isyarat bahawa terdapat kemungkinan Kit Siang tidak mempertahankan kerusi Parlimen Gelang Patah yang dimenanginya dengan majoriti 14,762 undi sebaliknya beralih untuk bertanding di kawasan selamat MCA.

Kenapakah DAP bersungguh-sungguh mahu menawan Johor? Jawapannya kerana negeri itu adalah kubu kuat BN. Sebab lain adalah daripada tujuh ahli Parlimen MCA, empat menang di Johor iaitu Ayer Hitam, Tanjung Piai, Tebrau dan Labis.

Jika Pakatan Harapan mahu menawan Kerajaan Pusat, mereka perlu menang banyak kerusi di Johor. Sebab itu, DAP menghantar ‘orang kuat’ parti itu untuk bertanding di kawasan Parlimen milik MCA di negeri berkenaan dan telah mencipta slogan Ranapkan MCA.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/rencana/utama/isu-isu-akhbar-cina-1.637136#ixzz5BDsIt4rU
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment

komen² anda akan dipublish setelah disahkan..

terima kasih daun keladi..
esok² sudi la komen lagi..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...