Full Width CSS

YES Sedia Membantu Masyarakat Seputeh #1Malaysia @NajibRazak @razlanrafii

Yayasan Ehsan Seputeh (YES) akan bekerjasama dengan KPJ Healthcare Berhad (KPJ) untuk menganjurkan program-program kesihatan dengan memberi pendedahan kepada masyarakat setempat tentang kepentingan menjaga kesihatan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Lila Ruzaini Mohd. Hussain berkata, program tersebut merupakan salah satu inisiatif YES bagi memberi kesedaran dan pengetahuan serta menggalakkan orang ramai menitikberatkan aspek kesihatan dalam kehidupan.

"Kami sudah berbincang dengan pihak KPJ bagi mengadakan aktiviti-aktiviti kesihatan seperti sesi ceramah, panduan gaya hidup sihat, motivasi dan sebagainya untuk masyarakat sekitar terutama di kawasan Seputeh," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Selain itu katanya, YES juga telah mendapat sokongan daripada badan lain seperti Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia (NKF) dalam memberikan khidmat nasihat dari segi teknikal bagi menubuhkan sebuah pusat dialisis.

Lila Ruzaini memberitahu, pusat dialisis tersebut akan ditubuhkan bagi membantu pesakit buah pinggang yang terpaksa menampung kos rawatan yang tinggi.

"Kami akan menawarkan perkhidmatan rawatan dengan kadar yang paling minimum manakala rawatan percuma akan diberikan bagi pesakit yang tidak berkemampuan," katanya.

YES juga bekerjasama dengan Utusan Malaysia bagi melaporkan aktiviti anjuran yayasan itu. YES kini diketuai oleh Ketua UMNO Bahagian Seputeh, Mustapa Kamal Mohd. Yusoff.

Lila Ruzaini berkata, pihaknya juga bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana NGO atau syarikat korporat bagi menjalankan program khidmat sosial.

Sebarang pertanyaan atau ingin menyalurkan bantuan dan sumbangan boleh menghubungi pegawai urus setia YES, Noor Hidayah Mohd. Samsuri di talian 010-432 4770.

Post a Comment

0 Comments