Full Width CSS

#TabungWiraNegara : Tahniah Kerajaan #1Malaysia Umum Sumbangan Bulanan Kepada Keluarga Perwira Lahad Datu


Ahli keluarga dan waris kepada wira negara yang terkorban ketika menentang pengganas dalam kejadian pencerobohan di Lahad Datu, Sabah akan menerima bantuan secara bulanan daripada Tabung Wira Negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, balu kepada wira negara akan menerima sumbangan sara hidup RM800 setiap bulan, RM500 (anak di bawah 18 tahun) dan RM400 (ibu bapa kepada wira yang bujang).
''Anak mereka turut menerima sumbangan pendidikan secara bulanan iaitu RM200 kepada anak di peringkat prasekolah, RM300 (anak peringkat sekolah rendah) dan RM500 (anak peringkat sekolah menengah). Selain sumbangan berjadual, ahli keluarga wira juga memperoleh sumbangan sekali gus iaitu RM22,000 bagi keluarga wira yang terkorban, wira alami kecederaan parah (RM10,000), kecederaan ringan (RM5,000), ahli keluarga yang melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi (RM10,000)," katanya di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap dalam majlis penyerahan sumbangan Tabung Wira Negara kepada ahli keluarga wira yang terkorban dan pegawai yang cedera dalam Op Daulat di Lahad Datu, Sabah.

Anak ketiga kepada Allahyarham Zulkifli Mamat yang terkorban, Noor Aqib Syahid yang hanya berumur 31 hari merupakan penerima sumbangan paling muda dalam majlis itu.

Sejak dilancarkan pada 11 Mac lalu di Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Ke-13, Tabung Wira Negara berjaya mengumpul lebih RM3.2 juta hasil sumbangan daripada penjawat awam Persekutuan, negeri, badan-badan berkanun serta melalui tajaan lain.

Najib berkata, kejadian pencerobohan Lahad Datu, Sabah mesti dijadikan pengajaran supaya langkah-langkah konkrit dan berkesan diambil bagi memastikan kejadian yang sama tidak berulang.

Perdana Menteri turut memberi amaran tegas bahawa kerajaan tidak akan sesekali berkompromi terhadap sebarang niat untuk menceroboh kedaulatan negara.

"Kepada mereka yang terlintas fikiran dan niat jahat untuk melakukan perkara sama (pencerobohan), kita beri isyarat jelas bahawa tidak akan berkompromi dalam soal kedaulatan dan keselamatan," katanya.

Sementara itu, Jabah Anak Mingku percaya mendiang suaminya (Michael Anak Padel) boleh bersemadi dengan aman selepas mengetahui kebajikan anak dan isteri dijaga dengan baik.

''Anak saya cukup tabah dan dia menasihatkan saya supaya bangkit daripada kesedihan kerana katanya, daddy tidak akan kembali walaupun kita bersedih," ujarnya.

Inspektor Mohamed Hasnal Jamil yang cedera parah dalam kejadian pencerobohan di Lahad Datu pula mengucapkan terima kasih kepada penjawat awam yang memberi sumbangan.

''Walaupun kecederaan belum sembuh sepenuhnya, tetapi saya telah mula bekerja seperti biasa di Bukit Aman," katanya.

Post a Comment

1 Comments

komen² anda akan dipublish setelah disahkan..

terima kasih daun keladi..
esok² sudi la komen lagi..