Full Width CSS

Krisis Menteri Besar Selangor, Anwar Pakar Kaki Putar Alam - Syed Ali


Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim sebenarnya ‘kaki putar alam’ dan rakyat semakin memahami sejauh mana penipuan politik yang cuba dilakukan dalam krisis Menteri Besar (MB) Selangor.

Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee menyifatkan tindakan Anwar dan Lim Guan Eng memohon ampun Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak lebih hanya sandiwara atau lakonan politik semata-mata untuk menutup mata rakyat.

Katanya, rakyat cukup mengenali siapa Anwar akan sentiasa ‘mengubah skrip’ politiknya mengikut suasana asalkan terkabul cita-cita besarnya mahu menjadi Perdana Menteri.

Inilah yang dinamakan ‘politik putar alam’ yang langsung tidak mempedulikan kepentingan rakyat sebaliknya memikirkan untuk mendapat kuasa dengan mengikut pintu belakang.

Semalam, Sultan Selangor melahirkan rasa dukacita tindakan PKR dan DAP yang mengingkari arahannya menyenaraikan lebih dua nama untuk dipertimbangkan sebagai calon MB Selangor. Sebaliknya kedua-dua parti itu tetap berkeras menghantar satu nama.

Sejurus selepas itu, Anwar dan Lim Guan Eng memohon ampun kepada Sultan Selangor kerana tindakan PKR dan DAP yang hanya mengemukakan Wan Azizah sebagai calon tunggal MB Selangor.

Menurut Syed Ali, sepatutnya Ketua Pembangkang itu bukan sahaja wajib meminta ampun kepada Sultan Selangor juga mengambil keputusan mengundurkan diri dari politik selepas tidak memahami undang-undang tubuh kerajaan negeri termasuk tidak menghormati Raja Berpelembagaan di negara ini.

“Bagi saya Anwar seorang kaki putar alam. Beliau sanggup bersandiwara dan menghalalkan cara demi agenda politik beliau. Kita sendiri berasa pelik kenapa Anwar tidak habis-habis menyusahkan rakyat dan negara yang aman damai hanya semata-mata untuk mengalih perhatian rakyat daripada kes liwatnya dan melunaskan cita-citanya menjadi Perdana Menteri,” katanya.

Beliau mendakwa, Anwar sememangnya pengacau dan pengkhianat kepada kestabilan rakyat dan negara ini hasil tindak tanduknya sering bertentangan dengan amalan demokrasi di negara ini.

Anwar juga mengamalkan sikap diktator dan kuku besi bagi memastikan cita-cita politiknya menjadi kenyataan. Ketua pembangkang itu turut mencabuli prinsip demokrasi apabila menamakan isterinya Wan Azizah sebagai calon MB.

“Rakyat Selangor sendiri melihat tidak ada persetujuan kolektif sesama pembangkang mencalonkan Wan Azizah sebagai MB Selangor. Anwar buat keputusan secara diktator dan DAP bertindak sebagai penasihat.

“Hanya pemimpin mempunyai strategi atau muslihat terancang sahaja akan bertindak bermati-matian mahukan Wan Azizah sebagai MB walaupun sehingga terpaksa mengenepikan arahan Sultan Selangor dan mencederakan Perlembagaan Negara.

Baca lagi di sini

Post a Comment

0 Comments