Full Width CSS

Perginya Seorang Patriot Melayu Allahyarham Datuk Fuad Hassan


Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Datuk Fuad Hassan meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) tengah malam tadi akibat serangan sakit jantung. Beliau berusia 62 tahun.

Fuad menghembus nafas terakhir kita-kira jam 12.20 tengah malam tadi di sisi ahli keluarganya setelah tidak sedarkan diri sejak dimasukkan ke hospital berkenaan awal pagi semalam.

Allahyarham sebelum itu diserang sakit jantung semasa menghadiri majlis penutup sempena Program Pemukiman Transformasi Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) di Awana Kijal, Kemaman, Terengganu 11.15 malam kelmarin.

Adik Allahyarham, Datuk Jalaluddin Hassan berkata, beliau menerima berita mengenai kejadian yang menimpa abangnya itu tengah malam kelmarin sebelum bertolak ke Kuantan pagi semalam bersama adik beradiknya yang lain.

"Saya bersama adik beradik yang lain sampai ke hospital pagi jam 9 pagi dan semasa itu Abg Ngah ketika itu masih dalam keadan tidak sedarkan diri namun dalam keadaan stabil.

"Bagaimanapun keadaannya mula kritikal petang semalam dengan mengalami tekanan darah rendah dan kegagalan fungsi buah pinggang sebelum menghembus nafas yang terakhir tengah malam tadi," kata pelakon terkenal itu.


Katanya jenazah abangnya itu akan dimandi dan disembayangkan di surau Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan sebelum dibawa ke rumahnya di No.52, Jalan 4M, Ampang Jaya, Selangor.

Adik Allahyarham ialah bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Allahyarham, pernah memegang pelbagai jawatan dalam Pemuda Umno Selangor dan Pemuda Umno Malaysia serta merupakan bekas Adun Hulu Klang (BN) selama dua penggal dari 1990-1999.

Allahyarham dilantik ke jawatan Ketua Pengarah Jasa pada 2009.

Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Taman Bukit Teratai, Ampang, selepas zohor hari ini.


Post a Comment

0 Comments