Full Width CSS

Banduan Terlepas Hukuman Mati Setelah Diampunkan Sultan Johor #DaulatTuanku


Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan memberi pengampunan kepada 10 banduan yang menjalani hukuman mati atas pelbagai kesalahan sempena Istiadat Kemahkotaan baginda.

Hukuman terhadap semua banduan berkenaan diringankan menjadi penjara seumur hidup dan sepanjang hayat.
Baginda juga berkenan memberi pengampunan dan pembebasan seorang banduan yang merupakan pesalah juvenil pada 2004 ketika disabitkan kesalahan membunuh selepas menghadap baginda di Istana Bukit Serene di sini Khamis lalu.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ismail Karim berkata, tiga daripada 10 banduan yang mendapat pengampunan disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 diberi pengampunan dan diringankan daripada hukuman mati kepada penjara seumur hidup.

Beliau berkata, tiga lagi banduan yang turut diberi pengampunan dan diringankan kepada hukuman penjara seumur hidup atas kesalahan mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

“Sementara itu, empat banduan lagi diberikan pengampunan dan diringankan kepada hukuman penjara sepanjang hayat. Tiga daripadanya melakukan kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, manakala seorang lagi melakukan kesalahan mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

“Atas nasihat Lembaga Pengampunan Negeri Johor, Tuanku menitahkan supaya banduan lelaki (kes juvenil) diberi pengampunan dan dibebaskan dengan syarat dikehendaki menghadap baginda bersama ibu bapanya dan diiringi pegawai penjara bagi memastikan dia benar-benar insaf,” katanya .

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar khas Persidangan Lembaga Pengampunan Johor di Bilik Ge­rakan Tun Abdul Razak, Bangunan Sultan Ibrahim di Bukit Timbalan di sini.

Ismail berkata, Sultan Ibrahim berkenan mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pengampunan Negeri Johor pada 5 Mac lalu bagi mempertimbangkan pembebasan dan meringankan hukuman untuk beberapa banduan.

Mesyuarat tersebut turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail bersama tiga Ahli Lembaga Pengampunan Negeri Johor.

“Dalam mesyuarat berkenaan, Sultan Ibrahim berkenan menimbang 10 kes rayuan pengampunan hukuman mati di bawah Peraturan 114 Peraturan-Peraturan Penjara 2000 dan 13 kes Kajian Hukuman Empat Tahun Sekali (KHETS) di bawah Peraturan 54 Peraturan-Peraturan Penjara 2000,” katanya.

Alhamdulillah

Post a Comment

1 Comments

  1. Kalaulah anwar ibrahim rakyat johor yg dipenjara di simpang renggam. Tapi apa kesalahan yg boleh diampunkan? Sanggup mengakui kesalahan dan sanggup mengucap keinsafan? Itulah soalnya...

    ReplyDelete

komen² anda akan dipublish setelah disahkan..

terima kasih daun keladi..
esok² sudi la komen lagi..