Full Width CSS

Pilot #Jupiter Aerobatic Team Nyaris Maut Pesawat Bergesel Di Udara #LIMA15 #Langkawi


Empat juruterbang Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Udara (TNI-AU) cedera apabila pesawat aerobatik KT-1 Woong Bi terhempas semasa menjalani latihan di ruang udara Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) di sini hari ini.

Kejadian kira-kira pada pukul 2 petang itu berlaku apabila dua daripada enam pesawat Jupiter Aerobatic Team bergesel antara satu sama lain ketika melakukan formasi.


Pasukan aerobatik itu merupakan antara empat pasukan yang akan mengambil bahagian dalam Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2015 (LIMA 2015) bermula Selasa ini.

Menurut kenyataan Kementerian Pertahanan, keempat-empat juruterbang berkenaan bagaimanapun berjaya menyelamatkan diri apabila sempat keluar dari pesawat berkenaan menggunakan kerusi anjal.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang diketuai oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah digerakkan dan dapat menemui lokasi juruterbang berkenaan di Kampung Gelam, Kedawang dan Kampung Darat, Pemandangan Indah.


“Rumah seorang penduduk di Kampung Gelam dan sebuah kereta terbakar apabila pesawat tersebut terhempas tetapi pada ketika itu tiada orang di rumah,” ujar kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, TUDM dan TNI-AU akan menubuhkan pasukan bersama untuk menyiasat kejadian tersebut.

Empat juruterbang berkenaan dikenali sebagai, Arief Hartono, Sri Rajoro, Hunaidi Syarif Romos dan Yadi Indra Yadi.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintenden Harith Kam Abdullah berkata, kejadian tersebut juga menyebabkan seorang warga emas dimasukkan ke Hospital Langkawi kerana pengsan akibat kejadian tersebut setelah mengetahui rumah anaknya terbabit dengan kemalangan tersebut.

“Kemalangan dipercayai berpunca apabila dua pesawat dari arah bertentangan bergesel semasa latihan penerbangan tersebut.

“Mangsa dalam pesawat pertama melibatkan juruterbang berpangkat Marsyal Pertama dan seorang Mejar. Pesawat kedua melibatkan juruterbang berpangkat Leftenan dan seorang Mejar, “ katanya.

Post a Comment

0 Comments