Full Width CSS

Pihak Berkuasa Perlu Tegas Halang Pengkhianat Bangsa Pertaruhkan Negara Pada Amerika


Veteran Umno kesal dengan tindakan Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di negara ini yang sanggup menjadi perantara menguruskan pertemuan bekas Timbalan Ketua Umno Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hasan dengan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) dalam usahanya untuk meminta negara itu campur tangan dalam kemelut 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).

Setiausahanya, Datuk Mustapha Yaakub berkata, dengan tindakan itu kini, jelaslah isu 1MDB selama ini adalah ciptaan kuasa luar dalam usaha untuk menjatuh kuasa Melayu di negara ini.

"Veteran Umno ingin pihak polis menyiasat untuk siapa Khairuddin dan peguamnya Mathias Chang bekerja untuk membuat laporan polis dan merancang untuk berjumpa FBI?

"Apakah kaitan misi Khairuddin dan Mathias Chang itu dengan kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengatakan Najib mungkin ditangkap sekiranya keluar negara?

"Apakah Mahathir dibelakang segala usaha itu? Kalau benar maka kenapa hanya Khairuddin ditangkap?

"Kalau perlakuan Khairuddin dianggap membahayakan negara, maka apakah orang di belakang Khairuddin tidak bahaya?" katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu Mahathir dalam satu kenyataan semalam berkata, ‎sekiranya Najib didapati terlibat dalam jenayah penggubahan wang haram beliau mungkin akan ditangkap dan didakwa mengikut undang-undang negara lain.

Mengulas lanjut, Mustapha berkata pihaknya berharap agar pihak polis melakukan siasatan segera berkenaan isu tersebut.

"Veteran mahu supaya polis menjalankan siasatan yang rapi dan mendesak supaya sesiapa saja yang terlibat dengan perancangan menjatuhkan kerajaan yang sah ini ditangkap dan dihukum," katanya.

Terdahulu, Khairuddin baru-baru ini yang ditahan oleh polis pada petang Jumaat lalu, telah dikenakan perintah reman selama enam hari berkaitan dengan isu 1MDB.

Sementara itu polis dalam satu kenyataannya menjelaskan bahawa penangkapan Khairuddin adalah disebabkan oleh usahanya untuk mensabotaj negara.

Post a Comment

0 Comments