Full Width CSS

Arab Saudi Sahkan Beri Dana Pada Perdana Menteri @NajibRazak


Sebelum ini sudah ada cakap-cakap dari mereka yang rapat dengan koridor kuasa bahawa dana yang menjadi kontroversi RM2.6 bilion (jumlah sebenar RM2.08 bilion) adalah sumbangan pemimpin tertinggi Arab Saudi Almarhum Raja Abdullah.

Dengan khabarnya ia sebahagian dari dana untuk membantu negara-negara Islam yang sederhana bagi memastikan tidak berlaku 'Arab Spring' yang merugikan umat Islam seperti di Mesir, Libya dan Syria.

Jika kita imbas balik, suasana sebelum PRU13, pembangkang di Malaysia memang galak buat perhimpunan sana sini sehingga menimbulkan kebimbangan berbagai pihak jika sekiranya Malaysia akan jadi macam Mesir, Libya dan Syria.
Pagi Rabu, media antarabangsa BBC menyiarkan laporan yang memetik sumber Istana Arab Saudi mengesahkan dana sebanyak USD681 juta yang dimasukkan ke akaun Datuk Seri Najib Razak itu adalah sumbangan daripada bekas pemerintah Arab Saudi Raja Abdullah.

Ini kali pertama nama Raja Abdullah disebut secara terbuka, dan memang Raja Abdullah semasa hayatnya dikenali dan membina pengaruh dengan menyumbang bantuan kewangan kepada institusi-institusi Islam seluruh dunia.

Ini kerana Arab Saudi dimana terletak dua kota suci Islam Mekah dan Madinah, merasakan mereka merupakan payung umat Islam selepas runtuhnya empayar Uthmaniyyah selepas perang dunia pertama.

Arab Saudi melalui hubungan baik dengan Amerika Syarikat dan dengan kekayaan hasil minyaknya mereka menyalurkan ratusan juta setiap tahun kepada negara-negara umat Islam.

Berbalik kepada kisah dana tersebut, memetik sumber Istana Arab Saudi, BBC berkata sumbangan untuk pilihanraya tersebut dilakukan menggunakan dana milik peribadi Raja Abdullah melalui Bank Swiss cawangan Singapura.

Almarhum Raja Abdullah meninggal dunia pada 23 Januari 2015 ketika berusia 90 tahun.

Untuk rekod, Najib memang mempunyai hubungan yang baik dengan keluarga diraja Arab Saudi, sejak menjadi Perdana Menteri, Najib melakukan kunjungan ke Arab Saudi hampir setiap tahun bertemu dengan pemimpin-pemimpin negara itu selain untuk mengerjakan umrah dan ziarah.

Kali terakhir beliau berbuat demikian adalah awal tahun ini.


Pada Selasa, Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali 'membersihkan' Najib dari dakwaan rasuah selepas siasatan SPRM mendapati wang itu adalah sumbangan daripada keluarga diraja Saudi.

Bagaimanapun tidak disebut siapakah keluarga diraja Arab Saudi tersebut.

Kerajaan sebelum ini menafikan bahawa wang tersebut datang dari dana pelaburan milik negara 1MDB, seperti dakwaan yang dibuat oleh musuh-musuh politik Najib.

Berikut adalah kenyataan Mohamed Apandi dalam sidang akhbar pada Selasa mengenai sumbangan tersebut.

Saya telah mengkaji dengan teliti keseluruhan keterangan saksi-saksi dan dokumen-dokumen ser­ta maklum balas yang diberikan oleh pihak SPRM berkaitan klarifikasi yang dimohon sebelum ini berhubung satu kertas siasatan berkaitan kes yang dikatakan melibatkan dana RM2.6 bilion dan dua kertas siasatan berkaitan kes SRC International yang telah dikemukakan kembali kepada saya oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

A. RM2.6 Bilion

1. Berhubung kertas siasatan berkaitan dana yang dikatakan berjumlah ‘RM2.6 bilion’ yang dimasukkan ke dalam akaun YAB PM (Yang Amat Berhormat Perdana Menteri), saya berpuas hati bahawa keterangan saksi-saksi dan dokumen-dokumen sokongan yang di­ke­mukakan oleh pihak SPRM kepada saya menunjukkan bahawa dana yang dimasukkan ke dalam akaun YAB PM berjumlah AS$681 juta (RM2.08 bilion) di antara tarikh 22.03.2013 dan 10.04.2013 adalah merupakan sumbangan peribadi kepada YAB PM daripada keluarga diraja Arab Saudi dan telah diberikan kepada beliau tanpa apa-apa balasan.

2. Pihak SPRM sendiri di dalam siasatan telah menemui dan merakamkan percakapan saksi-saksi termasuk pemberi sumbangan dana tersebut yang mengesahkan sumbangan tersebut diberikan kepada YAB PM secara peribadi.

3. Saya berpuas hati bahawa tiada keterangan yang menunjukkan bahawa dana tersebut adalah suatu bentuk suapan yang diberikan secara rasuah. Keterangan daripada siasatan tidak menunjukkan sumbangan dana tersebut diberikan sebagai dorongan atau sebagai upah untuk melakukan atau tidak melakukan sesuatu perbuatan yang berkaitan dengan kapasiti beliau sebagai seorang Perdana Menteri.


4. Tambahan pula, dalam bulan Ogos tahun 2013, wang sejumlah AS$620 juta (RM2.03 bilion) telah dikembalikan semula oleh YAB PM kepada keluarga diraja Arab Saudi kerana dana tersebut tidak diguna pakai.

5. Berdasarkan keterangan saksi-saksi dan dokumen-dokumen sokongan yang dikemukakan, saya berpuas hati bahawa tidak terzahir apa-apa kesalahan jenayah berhubung sumbangan dana RM2.08 bilion tersebut.

6. Berhubung perkara ini juga, saya juga berpuas hati bahawa tiada keperluan bagi Malaysia untuk membuat permintaan ban­tuan bersama dalam perkara jenayah (mutual legal assistance) kepada mana-mana negara asing bagi tujuan melengkapkan siasatan jenayah yang dijalankan oleh pihak SPRM memandangkan tidak terzahir apa-apa kesalahan jena­yah berhubung sumbangan dana RM2.08 bilion tersebut.


Sumber : Agendadaily

Post a Comment

0 Comments