Full Width CSS

Prasarana Latih Pemandu Tren MMMSL Baharu Kalangan Warga Arab Saudi


Buat julung-julung kali, seramai 23 pemandu tren warga Arab Saudi akan terlibat bagi mengemudi perkhidmatan tren Al Mashaaer Al Mugaddassah Metro Southern Line (MMMSL) pada musim haji di Mekah, Arab Saudi.

Jurucakap MMMSL, Mohamad Hashim Mamot berkata, berbeza dengan operasi tahun pertama musim lepas, kesemua pemandu tren Arab Saudi itu akan turut menyertai 103 pemandu tren Malaysia untuk bertugas di MMMSL tahun ini.

Katanya, 23 pemandu Arab Saudi terlibat sudah mula menerima latihan di Akademi Rel Prasarana sejak awal tahun ini.

“Pemandu dari Arab Saudi ini mengikuti kursus selama tiga bulan di Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Sri Petaling-Ampang, yang menggunakan sistem hampir serupa di MMMSL.

“Selesai kursus di Malaysia, mereka kembali ke Arab Saudi untuk mempelajari pula sistem yang terdapat di MMMSL. Alhamdulillah, mereka menggunakan ilmu yang mereka pelajari di Malaysia dengan baik untuk memperkemaskan pemanduan dan teknik mengatasi masalah bila berlaku kerosakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.



Jelas Hashim yang juga Pengarah Negara Arab Saudi, Prasarana Integrated Management and Engineering Services (PRIME), operasi MMMSL akan bermula 8 September dan berakhir pada 14 September.

Pada waktu puncak, MMMSL yang akan beroperasi menggunakan tren 12 gerabak akan menampung 350,000 penumpang sehari.

Post a Comment

0 Comments