Gambar sekeping surat edaran dalaman yang menyatakan bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan melaksanakan Perkhidmatan Pesakit Bayar Penuh, tersebar di media sosial tanpa sebarang pemahaman dan penjelasan yang tepat, mencetuskan kebimbangan netizen.
Ada sesetengah pihak tersalah tafsir dan menganggap bahawa caj rawatan RM1 akan dimansuhkan. Lebih teruk lagi, ada yang menyangka hospital kerajaan akan diswastakan.
Bagi menjelaskan kekeliruan itu, pihak The Dressar & Co. (TDC) tampil menafikan dakwaan yang tidak berasas itu.
Menurut TDC, Full Paying Patient (FPP) merupakan pakej yang telah diperkenalkan sejak tahun 2015 di mana pada fasa pertama perlaksanaannya, sebanyak lapan buah hospital telah menyediakan pakej ini.
"Kelebihan pakej ini adalah, pesakit akan menerima rawatan 'first class'. Contohnya tidak perlu menunggu lama, ibarat servis yang didapati di hospital swasta. Malah, perkhidmatan yang diberikan, lebih bagus kerana khidmat kepakaran juga disediakan.
"Antara skop yang disediakan, termasuklan General Surgery, General Medicine, Obstetrics and Gynaecology, Orthopaedic (Including foot and ankle), Ophtalmology, Paediatrics, Anesthesiology, Otorhinolaringology ( Ear, Nose and Throat), Dentistry (Oral Surgery), Psychiatry, Endocrinology (Paediatric and Adult), Endocrine Surgery, Spinal Surgery, Rhinology and Sleep Medicine, Minimally Invasive Surgery, Endoscopy Gynaecology Surgery, Patology and Diagnostic Imaging.
"Namun, kelebihan yang diperolehi akan dikenakan caj rawatan penuh, iaitu tiada subsidi," kata kenyataan TDC.
Mengulas mengenai kandungan surat tersebut, pakej FPP akan diluaskan di lapan buah hospital yang terpilih, seperti yang disenaraikan dalam surat tersebut.
"FPP disediakan bagi mereka yang berminat serta mampu untuk membayar kos rawatan penuh. Surat ini bukan bermaksud yang perkhidmatan kesihatan dan perubatan sudah tidak diberikan subsidi. Mereka yang tidak berkemampuan masih lagi boleh menikmati rawatan serendah RM1.00 bagi warganegara dan RM5.00 di klinik pakar," katanya.
TDC meminta orang ramai tidak panik dengan penyebaran surat tersebut. Malah ia perlu diterima dengan gembira kerana pakej FPP ini telah diperluaskan dan mereka yang berkemampuan bolehlah menikmati rawatan kelas pertama.
Antara kelebihan FPP ialah, pesakit akan mendapat wad kelas pertama selain mempunyai kelebihan untuk memilih pakar bedah. Walau bagaimanapun, sekiranya pesakit yang memilih pakej FPP ini memerlukan pembedahan, pembedahan tidak semestinya dilakukan lebih cepat. Pihak hospital tetap akan memberi keutamaan pada kes kecemasan. Jadi, tidak timbul isu memotong giliran.
"Itulah kelebihan besar FPP. Ada pakar bedah yang bekerja di institusi kerajaan lebih hebat berbanding pakar bedah swasta. Malah pakar bedah swasta juga adalah pelajar kepada pakar yang bekerja di institusi kerajaan tersebut.
"Jadi pesakit boleh memilih pakar-pakar 'sifu' ini untuk merawat mereka, memandangkan mereka bayar penuh dan pembedahan akan dilakukan sendiri oleh pakar yang mereka pilih.
"Untuk pesakit yang bersubsidi pula, pembedahan tetap akan dilakukan oleh pakar tetapi tidak boleh membuat pilihan seperti yang diberikan kepada pesakit yang mengambil pakej FPP," jelas TDC.
Justeru netizen diminta tidak terus menyebarkan gambar surat tersebut tanpa memahami maksudnya. Tindakan yang tidak bertanggungjawab itu boleh mendatangkan kekeliruan pada masyarakat dan kebimbangan yang tidak sepatutnya berlaku. - The Reporter
0 Comments
komen² anda akan dipublish setelah disahkan..
terima kasih daun keladi..
esok² sudi la komen lagi..