Full Width CSS

ATM Akan Munculkan Diri Di Sempadan Bangladesh - Myanmar #Negaraku


Malaysia akan melaksanakan 'Misi Kemanusiaan untuk Rohingya', misi bantuan bersepadu bagi membekalkan keperluan serta bantuan segera kepada pelarian yang berlindung di sempadan Bangladesh-Myanmar.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata keputusan untuk menghantar misi kemanusiaan itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Menurut kenyataan itu, misi yang diketuai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang mendukung semangat 'Negaraku Prihatin' merupakan manifestasi bantahan Malaysia sekeras-kerasnya terhadap penindasan berterusan oleh pasukan keselamatan Myanmar terhadap komuniti Rohingya.

"Misi yang disokong oleh badan sukarelawan iM4U ini telah memulakan operasi dan bersedia untuk bertolak Sabtu ini bagi meninjau serta menilai keadaan sebenar di kem-kem pelarian tersebut.

"Ia seterusnya bakal menyaksikan penghantaran bantuan keperluan yang diuruskan secara komprehensif oleh Malaysia Airlines dan akan diedarkan oleh pasukan sukarelawan rakyat Malaysia yang tampil daripada pelbagai pertubuhan melalui kerjasama Malindo Air," kata kenyataan itu.


Menurut kenyataan itu, bagi memastikan bantuan dapat dihulurkan secara lebih efektif, perbincangan akan turut diadakan bagi rancangan menempatkan sebuah hospital tentera di daerah itu dengan persetujuan lanjut oleh pihak berkuasa Bangladesh.

Sebagai komuniti ASEAN yang berpegang teguh kepada nilai kemanusiaan dan kesejahteraan sejagat, Malaysia menggesa kerajaan Myanmar untuk menyelesaikan kemelut yang berlaku berpandukan prinsip perlindungan hak asasi manusia yang termaktub dalam Piagam ASEAN dan Deklarasi Hak Asasi Manusia ASEAN serta resolusi yang dicapai melalui Mesyuarat Luar Biasa Majlis Menteri-menteri Luar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) pada 19 Jan lepas.

"Melalui bantuan kemanusiaan ini, hubungan kerjasama dua hala antara Malaysia dan Bangladesh dijangka meningkat untuk kebaikan bersama," menurut kenyataan itu.

Sumber : Bernama

Post a Comment

0 Comments