Full Width CSS

PM Perkenal 5 Lonjakan TVET & Sasaran Kepada Pelajar Tahfiz

NAJIB TUN RAZAK bergambar bersama pelajar Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) selepas merasmikan

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak me­ngumumkan lima lonjakan bagi mentransformasikan sistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) agar benar-benar berupaya menjadi agen perubahan dalam meningkatkan daya saing tenaga kerja tempatan serta ekonomi negara.

Serentak dengan itu, Perdana Menteri memberitahu, kerajaan bercadang untuk memperkenalkan sistem TVET kepada pelajar tahfiz bagi memastikan mereka bukan sahaja berkebolehan dalam menghafaz al-Quran tetapi turut berkemahiran tinggi dalam pelbagai bidang.

Jelasnya, melalui lonjakan pertama, kerajaan akan melatih serta meningkatkan tenaga mahir tempatan secara berterusan daripada 28 peratus ketika ini kepada 35 peratus menjelang 2020 agar mereka menjadi kompetitif, berpeluang memiliki pekerjaan dan memperoleh pendapatan yang lumayan.

Pada masa yang sama jelas beliau, di bawah lonjakan itu, kerajaan juga merancang untuk melatih sehingga 300,000 rakyat Malaysia daripada golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) mulai sekarang hingga 2025 di bawah sistem TVET sebagai lonjakan kedua transformasi.

“Menjelang 2030, kita menya­sarkan peratusan pekerja mahir mencapai 45 peratus, memiliki 20,000 tenaga pengajar vokasional dan 4,000 tenaga pakar TVET menjelang 2025,” katanya ketika berucap merasmikan penjenamaan semula TVET kepada TVET Malaysia di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh dan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Pada majlis tersebut, Najib turut menghadiri sesi dialog Transfrormasi Nasional 2050 (TN50), me­nyaksikan demonstrasi industri 4.0 dan merasmikan hangar ADTEC.

Dalam pada itu, bagi lonjakan kedua pula iaitu memperkukuh dan memperhebatkan lagi kerjasama strategik awam-industri, Najib berkata, menerusi langkah tersebut ia akan membentuk si­nergi dalam membangunkan tenaga kerja berkemahiran.

“Kerjasama strategik sebegini boleh direalisasikan melalui pelbagai bentuk antaranya se­perti industri, menyumbang kepakaran atau mesin dan peralatan dalam melatih tenaga kerja mahir dalam bidang-bidang tertentu yang amat diperlukan oleh pasaran industri,” ujarnya.

Perdana Menteri menambah, bagi lonjakan ketiga pula kerajaan memberi fokus melahirkan lulusan TVET dalam bidang perniagaan dan teknousahawan agar mereka bukan
sahaja mampu mewujudkan peluang pekerjaan tetapi menjadi ikon kepada tenaga kerja tempatan selain berkebolehan bersaing di pentas antarabangsa.

Selain itu, jelas beliau, bagi lonjakan keempat pula iaitu me­laksanakan program geran padanan, kerajaan telah memperuntukkan RM20 juta dalam Bajet 2017, di mana peruntukan kewangan diberikan pada nilai yang setara dengan nilai sumbangan diterima daripada pihak industri melibatkan program-program TVET berimpak tinggi.

“Lonjakan kelima menjenamakan institusi TVET melalui TVET Malaysia yang mana menyaksikan kesemua institusi TVET di bawah pelbagai kementerian akan bersatu dan bergabung tenaga sebagai kerjasama unggul lagi bersepadu bagi melatih anak-anak muda untuk menjadi tenaga kerja teknikal yang berkemahiran tinggi,” katanya.

Post a Comment

0 Comments