Full Width CSS

LRT & BRT #RapidKL Dilanjutkan Operasi Bersempena #Citrawarna


Rapid KL akan melanjutkan operasi perkhidmatan tren dan BRT Sabtu ini (28 Oktober) bersempena dengan program Citrawarna@Kuala Lumpur, yang akan diadakan di Dataran Merdeka Kuala Lumpur.

Selaras dengan keputusan itu, stesen LRT Masjid Jamek, yang merupakan stesen LRT terdekat dengan Dataran Merdeka, akan dibuka sehingga 1 pagi untuk membenarkan orang ramai memasuki stesen dan meneruskan perjalanan pulang mereka dengan selesa dan selamat.
“Para penumpang boleh memasuki stesen LRT Masjid Jamek sebelum 1 pagi dan keluar ke mana-mana stesen LRT, monorel, MRT dan perkhidmatan BRT - Laluan Sunway. Stesen-stesen ini akan ditutup secara berperingkat seperti biasa bermula daripada pukul 11 malam.

“Para penumpang yang mahu menggunakan perkhidmatan MRT boleh bertukar di ketiga-tiga stesen integrasi Pasar Seni, Merdeka dan Maluri untuk meneruskan perjalanan mereka ke rangkaian MRT. Kami berharap orang ramai akan menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam untuk perjalanan yang selesa dan selamat,” Rapid KL mengumumkan dalam satu kenyataan hari ini.

Program Citrawarna@Kuala Lumpur 2017 akan bermula dengan persembahan awalan berupa pertunjukan fesyen daripada 7 malam sebelum diteruskan dengan persembahan utama daripada 8.30 malam.

Program, yang akan dihadiri oleh Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, Dato’ Sri Mohamed Nazri Abdul Aziz dengan dimeriahkan oleh pelbagai acara termasuk persembahan artis dan pertunjukan bunga api, dijadualkan berakhir pada 11 malam.

Post a Comment

0 Comments