Full Width CSS

5 Seruan Semboyan Untuk Kemenangan #BarisanNasional Pada PRU14 #PAU2017 #KN @NajibRazak


Petikan teks ucapan dasar Presiden UMNO, Dato' Sri Mohd Najib Tun Razak.

Mulai tika dan saat ini, kuatkan azam dan gantungkan tekad yang tinggi, kita mara ke medan juang, menuju kemenangan di pilihanraya umum nanti, dengan berbekalkan lima seruan dan semboyan perang, penentu kemenangan pru ke-14.

Pertama : Bergerak-lah sebagai satu pasukan.

Ertinya, kali ini, untuk mempastikan kemenangan besar, jangan teragak-agak lagi, kita mesti bergerak dalam saf yang padu, jemaah yang kukuh dan ketumbukan yang jitu. Kata orang, tiada air orang tayamum, tayamum itu debu dan tanah, ketua memimpin ahlinya makmum, barulah umno mendapat berkah.

Lantaran, kepada semua wanita umno, yang bukan lagi sekadar tulang belakang parti, bahkan, kini turut bergelar ibu terbaik bangsa. Junjunglah, amanah dan tanggungjawab sebagai komandan kepada setengah juta ahli dan jentera jr plus. Lalu, kepada wanita umno khususnya, berbekalkan semangat wanita sebagai wirawati bangsa ini, turunlah padang, dekatilah rakyat, seraya gempurlah kubu pihak lawan, dan perang mesti menang!! Saudara dan saudari.

Kepada para pemuda umno pula, berpencaklah dengan berani, sebagai perwira harapan parti dan bangsa, dan tawanlah hati pengundi baharu, berbekal semangat kejayaan sebagai juara keseluruhan temasya sukan sea ke-29, junjunglah obor kecemerlangan itu, sehingga kita menang besar di pilihanraya umum ke-14 nanti.

Selanjutnya, kepada para puteri umno, sebagai sayap paling bongsu dan taat kepada parti, usahlah segan, gentar dan bimbang, gerakkanlah skuad puteri peduli, demi menawan hati masyarakat, mengundi umno dan barisan nasional.

Kedua : Bergerak-lah dengan penuh keyakinan bahawa, kita berada di landasan yang benar lagi betul.

Maknanya, kepada semua ahli umno dan barisan nasional, dengan idealisme dan semangat setiakawan serta kekeluargaan yang tidak boleh terpisahkan lagi, bagai rambut tersimpul mati. Atas semangat itu, pahatkan wala’ yang sepenuhnya, ukirkan taat setia dan patuh kepada segala arahan pucuk pimpinan. Pabila sudah ada calon yang dikenal pasti, janganlah diboikot dan disabotaj, tapi tumpahkanlah taat setia serta sokongan yang tidak berbelah bagi.

Bergeraklah, dengan winning mentality, tanpa rasa takut dan gentar, jangan ragu-ragu lagi, bagi memenangi pilihanraya ini. Dengan penuh rasa tawadhuk, yakinlah, kita di atas jalan perjuangan yang dirahmat lagi diredhai.

Ketiga : bertindak-lah dengan pantas, selesaikan cabaran yang akan dihadapi secara syura dan kekeluargaan.

Justeru, sesekali jangan kita patah semangat dipukul badai perjuangan. Kalau sesat di hujung jalan, kembalilah ke pangkalnya. Beringatlah: keistimewaan nabi dengan mukjizat, kelebihan umat dengan muafakat. Berundinglah dalam semangat syura dengan penuh hemah dan berhikmah, kerana dalam syura itu allah menjanjikan berkatnya.

Keempat : bertempur dan bertarunglah di alam siber dan dunia digital sebagai pejuang siber.

Sebabnya, perang sebenar di pilihanraya kali ini adalah, peperangan di alam siber dan dunia digital. Kalau kita gagal menguasai dunia siber dan digital ini, maka apa yang kita usahakan selama ini, mungkin menjadi sia-sia.

Saya pasti setiap orang mempunyai ‘alat’ seumpama ini.

Oleh itu, gunakanlah ia sebaiknya. Jangan diharap hanya kepada kelompok-kelompok tertentu sahaja, kerana sesungguhnya, kita lebih 3 juta ahli umno atau lebih 7 juta ahli barisan nasional, setiap seorang adalah pejuang siber yang sebenarnya.

Kelima : bertarung-lah dengan semangat juang dan tekad yang tinggi bahawa, kita telah berbuat sehabis baik, berusaha dan merancang semampu mungkin, lalu yang tinggal, berserah bulat-lah, sambil bertawakal kepada Allah hu ta’ala.

Maka itu, kepada semua ahli dan jentera parti umno serta barisan nasional, misi kita adalah satu, haluan besar kita juga adalah satu, kekalkan umno dan barisan nasional sebagai parti pilihan utama rakyat. Kerana, UMNO lah, pelaksana wasiat pusaka, harapan sejati negara bangsa.

Post a Comment

0 Comments