Pelbagai subsidi disediakan kerajaan merupakan bukti kerajaan Barisan Nasional (BN) prihatin dalam mendengar segala keperluan untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, peruntukan subsidi meliputi pelbagai sektor seperti barangan, elektrik, tol, kesihatan, pendidikan, perumahan disediakan semata-mata untuk kesejahteraan rakyat.
“Seperti yang diumumkan dalam Bajet 2018, sebanyak RM3.9 bilion disediakan untuk subsidi barang dan pengangkutan seperti gas memasak, tepung, minyak masak dan banyak lagi.
“Selain subsidi untuk barang, terdapat subsidi elektrik dan tol supaya kenaikan kadar elektrik dan tol dapat dielakkan,” katanya menerusi catatan di blog NajibRazak.com, hari ini.
Menurut Najib yang juga Menteri Kewangan, kerajaan turut memperuntukkan subsidi kesihatan yang tinggi setiap tahun supaya masyarakat di seluruh negara menikmati manfaatnya.
“Untuk 2018, sebanyak RM26.5 bilion disediakan bagi penjagaan kesihatan meskipun kutipan dalam sektor tersebut hanya RM600 juta.
“Maka perbelanjaan selebihnya ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan,” kata beliau yang turut merakam ucapan tersebut dalam bentuk audio.
Pada masa sama, Perdana Menteri turut menjelaskan mengenai pengecualian yuran wajib di sekolah kerajaan selain membiayai kira-kira 90 peratus yuran pengajian universiti sejak 2012.
“Contohnya, yuran program pengajian perubatan sebelum subsidi adalah sebanyak RM289,885, namun selepas subsidi pelajar perlu membayar yuran sebanyak RM9,000 sahaja sepanjang tempoh pengajian.
“Ini merupakan satu lagi contoh subsidi pendidikan yang disalurkan untuk rakyat,” katanya.
Tidak berhenti setakat itu, Najib memberitahu, kerajaan telah menyediakan subsidi untuk sektor perumahan dalam pelbagai bentuk bantuan deposit iaitu MyDeposit dan rumah kos rendah.
Antaranya, Projek Perumahan Rakyat (PPR), Rumah Generasi Kedua Felda, Rumah Bina Negara RISDA dan banyak lagi.
“Oleh yang demikian, usahlah mendengar tuduhan bahawa kerajaan langsung tidak menyediakan subsidi untuk rakyat kerana tohmahan tersebut tidak benar sama sekali,” katanya.
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/berita/nasional/bukti-kerajaan-bn-prihatin-8211-pm-1.612019#ixzz57X3qf9Vu © Utusan Melayu (M) Bhd
0 Comments
komen² anda akan dipublish setelah disahkan..
terima kasih daun keladi..
esok² sudi la komen lagi..