Full Width CSS

[Video] Percikan Api Sambar Ployfoam Punca Kebarakan Cepat Marak Di Bangunan KWSP


Kebakaran di pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di sini dipercayai berpunca daripada percikan api semasa kerja penyelenggaraan sedang dijalankan di tingkat satu bahagian luar bangunan berkenaan.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat, Datuk Soiman Jahid berkata, bangunan berkenaan didapati menggunakan bahan pelapis iaitu 'polyfoam' yang mudah terbakar.

"Daripada kajian dan siasatan awal, dinding bangunan ini dipasang menggunakan bahan mudah terbakar dan tidak diluluskan oleh mana-mana pihak.
"Kebakaran bermula dari tingkat satu yang sedang dijalankan kerja penyelenggaraan. Ditambah pula keadaan angin serta cuaca panas yang turut menjadi pendorong kepada kejadian tersebut," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian hari ini.

Beliau berkata kebakaran melibatkan bahagian luar bangunan serta sebahagiannya di dalam tingkat enam bangunan itu.

Bagaimanapun kata Soiman, seramai 527 orang pekerja yang berada di bangunan itu ketika kejadian telah dikeluarkan dan ditempatkan di kawasan lapang berdekatan.


"Pihak bomba menerima panggilan kecemasan pukul 11.52 pagi dan tiba tujuh minit kemudian, Operasi memadam kebakaran mengambil masa kira-kira 30 minit ," katanya.

Sementara itu, beliau berkata ini kali pertama kejadian kebakaran melibatkan 'cladding' (bahan pelapis) yang mudah terbakar berlaku di negara ini.

Katanya, mana-mana bangunan yang menggunakan bahan mudah terbakar dan tidak memenuhi spesifikasi ditetapkan telah melanggar Undang-undang Kecil Bangunan Seragam 1984.

"Secara tidak langsung, bangunan (KWSP) telah melanggar undang-undang ini," katanya.

Sehubungan itu, Soiman mengesyorkan bangunan-bangunan lain yang memasang 'cladding' yang mudah terbakar supaya menggantikan dengan yang baharu.

"Biasanya bahan mudah terbakar dan tidak mengikut standard yang ditetapkan adalah lebih murah serta berbahaya.

"Oleh itu, bomba akan membuat pemeriksaan terhadap bangunan lain dan sijil bomba tidak akan dikeluarkan sehingga mereka mengganti material 'cladding' yang baharu, " katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Superintendan Ku Mashariman Ku Mahmood mengesahkan tiada unsur jenayah dalam insiden ini. 

Post a Comment

0 Comments