Full Width CSS

Exco FAM Rayu TMJ Jangan Tinggalkan FAM Hihi


Beberapa Ahli Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) merayu supaya Tunku Ismail Sultan Ibrahim tidak meninggalkan badan induk itu.

Tunku Ismail mengejutkan kancah bola sepak negara malam tadi apabila mengumumkan meletak jawatan susulan kritikan di laman media sosial sejurus ranking skuad kebangsaan menjunam ke tangga 178 dunia.
Ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM, Christopher Raj menyatakan kritikan sedemikian tidak berasas kerana peningkatan dari segi ranking memerlukan masa.

"Seperti yang pernah dikatakan sebelum ini, masalah membabitkan ranking bola sepak negara tidak boleh diselesaikan dalam tempoh setahun atau dua tahun," katanya menerusi akaun Twitter.

"Sebagai Presiden FAM, Tunku Ismail bekerja keras untuk mencari jalan penyelesaian terhadap skuad kebangsaan. Ia juga dibincangkan dalam mesyuarat EXCO sebelum ini. Kita perlu memberi masa dan ruang kepada presiden untuk melakukan perubahan."

Naib Presiden FAM, Datuk Ab Ghani Hassan turut menyatakan betapa Tunku Ismail masih boleh menyumbang lebih banyak kepada bola sepak tempatan.

"Rayuan saya supaya Tunku Ismail tidak meletak jawatan. Sebagai Presiden FAM, beliau sudah memainkan peranan cukup besar untuk mengubah landskap bola sepak negara.

"Beliau bukan saja mula memperbaiki struktur bola sepak negara terutama dalam meningkatkan nilai Liga Malaysia (Liga M), malah kini sedang berusaha memastikan Malaysia berada dalam kalendar penganjuran kejohanan antarabangsa bermula dengan menjadi tuan rumah Kejuaraan B-16 AFC 2018 pada September ini dan membuat bidaan sebagai tuan rumah Kejuaraan B-23 AFC 2020," katanya.

Seorang lagi Naib Presiden FAM, Datuk S Sivasundram menggesa Tunku Ismail supaya meneruskan terajunya selama empat tahun selepas dipilih pada Kongres Pemilihan FAM, tahun lalu.

"Bukan senang sebenarnya untuk kita mencari seorang individu yang memberikan sepenuh jiwanya terhadap bola sepak iaitu sentiasa mahukan penambahbaikan dari sehari ke sehari dengan idea-idea baharu seiring dengan perkembangan bola sepak moden.

"Bagi saya, hanya Tunku Ismail memiliki ciri-ciri berkenaan untuk terus bergelar Presiden FAM, bukan hanya bagi tempoh setahun, malah untuk jangka panjang bagi menampakkan kesinambungan terhadap apa yang beliau sedang usahakan ketika ini."

Sementara itu, Timbalan Presiden FAM, Datuk Yusoff Mahadi menegaskan pasukan Liga M seharusnya berterima kasih kepada Tunku Ismail selepas mereka menikmati peningkatan dari segi nilai geran tahunan.

"Sebelum ini setiap pasukan Liga Super dan Liga Perdana masing-masing hanya menerima RM1 juta dan RM500,000 setahun.

"Tapi tidak sampai setahun Tunku Ismail menjadi Presiden FAM, nilai berkenaan berjaya dinaikkan kepada RM3 juta untuk pasukan Liga Super dan RM1 juta untuk pasukan Liga Perdana. Jika tanpa beliau, mustahil ia dapat direalisasikan."

Post a Comment

0 Comments