Full Width CSS

[Video] Rapid Bus Tubuh Pasukan Khas Untuk Tuntutan Insurans @MyRapidKL


KUALA LUMPUR, 17 Ogos – Rapid Bus Sdn Bhd telah menubuhkan pasukan khas bagi mengendalikan tuntutan insurans susulan daripada insiden yang membabitkan bas Rapid KL di AU2 Keramat malam tadi.

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus En Mohd Azam Omar berkata pemilik kenderaan yang berhasrat untuk mengemukakan tuntutan boleh menghantar tuntutan mereka bersertakan dokumen-dokumen yang berkaitan melalui e-mel ke alamat suggest@rapidkl.com.my.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan pagi ini, En Mohd Azam mengesahkan bahawa bas yang terbabit dalam insiden di Jalan Enggang AU2 Taman Keramat malam tadi adalah dalam keadaan baik semasa digunakan.

Berdasarkan kepada laporan polis yang dibuat malam tadi, insiden berkenaan bermula apabila bas tersebut terlibat dalam satu kemalangan jalanraya kecil di Jalan Enggang AU2, di Taman Keramat.

Kapten bas dilaporkan meneruskan perjalanan sambil dikejar oleh sekumpulan orang awam. Semasa dikejar bas tersebut dilaporkan melanggar beberapa kenderaan di sepanjang jalan sehingga tiba di susur keluar Jalan Ampang ke Lebuhraya MRR2 di mana kapten bas dilaporkan dipukul oleh beberapa orang awam.



En Mohd Azam berkata pihaknya amat kesal terhadap insiden yang berlaku dan sedang bekerjasama sepenuhnya dengan pihak polis dan pihak berkuasa yang berkaitan untuk menyiasat insiden tersebut.

“Kami berharap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi sementara menunggu keputusan siasatan rasmi pihak polis,” kata En Mohd Azam.

Kapten bas tersebut masih menerima rawatan di hospital. Tiada orang awam yang dilaporkan cedera semasa kejadian tersebut.

TAMAT

Dikeluarkan oleh Rapid Bus. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi jurucakap Rapid Bus Azhar Ghazali di talian 019-3837865.

Post a Comment

0 Comments