Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri akan melakukan pemeriksaan selepas tular di laman-laman sosial rungutan pengguna berikutan kenaikan mendadak harga hidangan berasaskan ayam di restoran Kentucky Fried Chicken (KFC).
Ketua Penguat kuasanya, Mohd. Sakhri Mohd. Salleh berkata, pihaknya akan mengambil tindakan dan mengeluarkan notis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga Antipencatutan iaitu restoran terbabit perlu memberi maklum balas kenaikan harga tersebut dalam tempoh lima hari.
“Notis tersebut penting supaya kita tahu punca kenaikan yang dilihat tidak munasabah itu.
“Selepas pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) September lalu, kita ada membuat pemeriksaan di restoran KFC dan mendapati kenaikan pada masa itu masih di peringkat terkawal dan tidak melampau,” katanya ketika ditemui selepas melakukan pemeriksaan harga kelengkapan sekolah di sebuah pasar raya di sini, hari ini.
Sejak semalam, kecoh di laman-laman sosial facebook mengenai kenaikan mendadak harga ayam KFC yang disifatkan pengguna terlalu tinggi.
Dikatakan harga set ayam Snack Plate yang sebelum ini berharga RM12.30 naik kepada RM15.30 manakala Dinner Plate dari RM15.60 kepada RM19.60.
Antara rungutan pengguna seperti membandingkan harga semasa di zaman cukai barang dan perkhidmatan (GST) adalah lebih murah daripada SST.
Terdapat juga dalam kalangan pengguna yang merungut bahawa tidak mampu membeli ayam KFC dengan harga baharu itu khususnya mereka yang mempunyai ramai ahli keluarga.
Sementara itu, mengulas mengenai pemeriksaan hari ini, Mohd. Sakhri berkata, harga kelengkapan sekolah yang dijual di pasar raya berkenaan didapati berpatutan.
0 Comments
komen² anda akan dipublish setelah disahkan..
terima kasih daun keladi..
esok² sudi la komen lagi..