Full Width CSS

Daulat Tuanku !! Tunku Azizah Aminah Kini Bergelar Tengku Ampuan Pahang


Pemasyhuran Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah sebagai Sultan Pahang yang baharu mela­yakkan Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah diangkat sebagai Tengku Ampuan Pahang.

Perkara 12A. (1) Undang-undang Tubuh Kerajaan Pahang berbunyi: ‘Raja pemerintah boleh melantik isterinya menjadi Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Pahang dengan syarat bahawa dia adalah seorang daripada bangsa Melayu, yang berdarah raja, yang beragama Islam dan perkahwinannya dengan raja pemerintah adalah sah menurut hukum syarak dan undang-undang yang berkuat kuasa pada masa perkahwinan itu dilangsungkan.’
Gelaran Tengku Ampuan Pahang khas untuk permaisuri kepada pemerintah atau sultan semasa yang berdarah raja seperti yang tercatat dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang.

Tunku Azizah yang dilahirkan pada Ogos 1960 di Istana Bukit Stulang, Johor Bahru, Johor merupakan puteri ketiga Sultan Johor, Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj Ibni Al-Marhum Sultan Ismail.

Baginda bertemu jodoh de­ngan Al-Sultan Abdullah yang kini merupakan raja pemerintah Pahang yang mana pasangan diraja berkenaan melangsungkan perkahwinan pada Mac 1986.

Pemasyhuran Tunku Azizah yang dijangka diadakan pada 29 Januari ini meletakkan baginda sebagai Tengku Ampuan Pahang terkini dalam kesultanan Pahang era moden. Kali terakhir gelaran itu digunakan adalah kira-kira 31 tahun lalu.

Tengku Ampuan Pahang yang pertama ialah Tengku Ampuan Fatimah Tun Muhammad diikuti Tengku Ampuan Besar Meriam Sultan Abu Bakar Johor, Tengku Ampuan Besar Fatimah Sultan Alang Iskandar Shah dan Tengku Ampuan Afzan Tengku Panglima Perang Muhammad.

Rakyat Pahang sememang­nya bertuah dan beruntung kerana memiliki Tunku Azizah yang mesra dan prihatin dengan nasib rakyat.

Keperibadian baginda yang sering mengetepikan protokol setiap kali mencemar duli turun padang menjenguk kehidupan rakyat termasuk memasak di pusat-pusat pemindahan banjir sudah diketahui umum.

Air mata Tunku Azizah yang mengalir ketika berkongsi pe­ra­saan sedih dengan rakyat menyer­lahkan lagi kasih sayang dan keikhlasan baginda terhadap mereka.

Keadaan itu umpamanya dapat disaksikan apabila ba­ginda tidak mampu menahan air mata daripada menitis ketika berkongsi perasaan sedih bersama ibu salah seorang kanak-kanak lemas di kolam taku­ngan bauksit semasa mencemar duli melawat keluarga mangsa di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di Kuantan pada Februari 2017.

Begitu juga semasa baginda melawat Noor Nadia Kamaludin, 29, isteri Allahyarham Mohd. Fatah Hashim, 34, seorang daripada enam anggota bomba yang maut dalam operasi mencari dan menyelamat di lombong berhampiran Taman Putra Perdana, Puchong, Selangor, tahun lalu.

Dari sudut lain, walaupun mempunyai kedudukan tinggi dalam masyarakat di Pahang, baginda sering dilihat menyinsing lengan baju dengan mengetepikan protokol memasak di khalayak.

Keperibadian, keikhlasan dan kemesraan Tunku Azizan menjadikan baginda permata hati yang disayangi rakyat Pahang.

Daulat Tuanku!



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/tunku-azizah-permata-hati-rakyat-1.827603#ixzz5dOIOJEds
© Utusan Melayu (M) Bhd

Post a Comment

0 Comments