Full Width CSS

Ini Sebabnya Imam Mengamuk Lepaskan Tembakan


Seorang pesara polis yang juga imam masjid menumbuk muka isterinya sehingga cedera kerana berang dengan tindakan wanita itu memajakkan pokok rambutan dalam kawasan rumah mereka di Kampung Bukit Kadir, di sini, kelmarin.

Sumber polis berkata, suspek berusia 63 tahun turut didakwa melepaskan satu das tembakan ke udara kerana terlalu marah dengan tindakan isterinya itu.

Katanya, dalam kejadian 9.30 pagi suspek memarahi mangsa berusia 58 tahun, apabila wanita itu dikatakan memajakkan pokok rambutan dalam kawasan rumah kepada seorang penduduk kampung.

“Akibat terlalu marah, lelaki itu menumbuk muka isterinya, menarik rambut dan menendangnya. Isteri mangsa yang juga seorang pengasuh mendakwa suaminya memegang sepucuk pistol lalu melepaskan tembakan ke udara,” katanya sambil menambah suspek juga mengambil sebilah parang lalu memecahkan cermin tingkap rumah mereka.

Bagaimanapun, hasrat suspek terus memukul isterinya dihalang anak lelaki mereka yang kemudian membawa wanita itu ke Balai Polis Nilai untuk membuat laporan pada jam 3.40 petang.

Sumber itu berkata, siasatan mendapati suspek adalah pesara di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah dan kini berkhidmat sebagai imam di sebuah masjid berhampiran rumah.

“Siasatan awal mendapati mangsa dibelasah apabila pokok rambutan ditanam suspek dalam kawasan rumah dipajak kepada penduduk,” katanya.


Sementara itu Ketua Polis Daerah Nilai, Superintan Mohd Nor Marzukee Besar ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan sama ada suspek melepaskan tembakan ke udara atau sekadar dakwaan.

Post a Comment

0 Comments