Full Width CSS

Uncle Kentang Umum Bertanding Di PRK Semenyih


Pengumuman aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng atau lebih dikenali sebagai ‘Uncle Kentang’ bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih 2 Mac ini, diakui bakal memberi kesan kepada Pakatan Harapan (PH).

Ketua ARMADA Selangor, Adif Shan Abdullah, berkata persaingan Chee Heng sebagai calon Bebas akan memecahkan undi penduduk Semenyih.


Katanya, jumlah undi juga akan terkesan bagi semua pihak bertanding selepas Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengesahkan meletakkan calon.

“Pengumuman Chee Heng diterima seiring prinsip dan amalan demokrasi yang subur di negara ini.

“Kita serahkan kepada kebijaksanaan rakyat Semenyih memilih,” katanya di sini, hari ini.

Adif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil, berkata pihaknya yakin PH dapat mengekalkan kerusi berkenaan selepas merampas dari Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), tahun lalu.

Katanya, PH komited berkhidmat dan berbakti kepada rakyat, sekali gus yakin pengundi sekali lagi bakal memilih calon PH daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Semalam, Chee Heng mengesahkan akan menjadi calon Bebas dengan menggunakan lambang telefon pada PRK Semenyih.

Katanya, keputusan itu dibuat bagi menjadi kuasa pendesak kepada calon PH dan BN untuk menunaikan janji.

Kerusi DUN Semenyih kosong selepas kematian wakil rakyatnya Bakhtiar Mohd Nor, 57, akibat serangan jantung pada 11 Januari lalu di Hospital Kajang.

Bakhtiar mengalahkan wakil rakyat dua penggal di kawasan itu, Datuk Johan Abd Aziz daripada BN dengan 23,428 undi pada PRU-14.

PRK Semenyih akan diadakan pada 2 Mac ini dengan hari penamaan calon ditetapkan pada 16 Februari dan tarikh pengundian awal pada 26 Februari.

Post a Comment

0 Comments