Full Width CSS

Kenapa Rahsiakan Gaji Pegawai Lantikan Politik Di Pejabat Menteri Besar Kedah


Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor hairan apabila soalan bertulisnya berkaitan gaji serta elaun para pegawai lantikan politik di pejabat Menteri Besar telah ditolak untuk dijawab dalam Sidang DUN Kedah pada 15 dan 16 April depan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri berkata, soalan berkenaan yang ditolak itu juga merangkumi gaji serta elaun Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (exco), pegawai-pegawai urusetia penerangan, syarikat milik kerajaan (GLC) dan agensi baharu kerajaaan.


Kata Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri itu, penolakan untuk menjawab soalan tersebut dimaklumkan menerusi surat daripada kerajaan negeri yang diterima beliau hari ini.

"Kita hairan mengapa tidak boleh jawab soalan seperti ini, rakyat perlu tahu berapa banyak yang dibayar oleh kerajaan khususnya bagi membayar gaji lantikan politik ini. Kadang-kala gaji yang dibayar kepada lantikan politik lebih mahal daripada kakitangan kerajaan.

"Adalah lebih baik menggunakan perkhidmatan kakitangan kerajaan untuk mengisi jawatan tersebut. Penjelasan perlu diberikan kerana rakyat berhak tahu," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Di dalam surat yang diterima oleh Muhammad Sanusi itu memaklumkan bahawa pertanyaan bertulis bagi Sidang DUN pada 15 dan 16 April iaitu senaraikan nama, jawatan, gred perkhidmatan dan jumlah gaji serta elaun pegawai lantikan politik di pejabat Menteri Besar, exco, pegawai-pegawai urusetia penerangan, GLC dan agensi baharu kerajaaan jika ada telah ditolak.

Soalan itu ditolak oleh jawatankuasa susunan-susunan soalan Dewan di bawah Peraturan 23 (1) - peraturan-peraturan mesyuarat DUN Kedah yang antara lain menyatakan sesuatu pertanyaaan itu tidak boleh meminta keterangan dengan apa-apa perkara rahsia.

Sumber : Utusan

Post a Comment

0 Comments