Thursday, October 18, 2012

Tun Mahathir Tarik Nafas Lega Bangsamoro & Kerajaan Filipina Berdamai #bnbagus

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bersyukur konflik lebih 40 tahun di antara kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) di wilayah selatan Filipina diselesaikan secara rundingan.

Beliau berkata sebagai manusia yang bertamadun, peperangan harus dielakkan dalam menyelesaikan pertikaian atau konflik.

"Saya bersyukur kerana akhirnya mereka dapat selesaikan pertikaian di selatan Filipina dengan cara rundingan dan Malaysia turut mengambil bahagian untuk memudahkan perjumpaan antara mereka.

"Saya mengucapkan tahniah kepada Bangsamoro dan kerajaan Filipina dan kerajaan Malaysia juga kerana dapat menyelesaikan pertikaian dan menghentikan peperangan yang (telah) melibatkan pembunuhan begitu ramai askar dan juga rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis Bicara Negarawan, Pemantapan Profesionalisme, Tranformasi Budaya Kerja dan Pentadbiran Pegawai-pegawai Tadbir Negeri Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu di Taman Tamadun Islam (TTI) di sini hari ini.

Pada Isnin lepas, kerajaan Filipina dan MILF telah menandatangani kerangka perjanjian damai secara rasmi bagi mengakhiri konflik lebih 40 tahun di wilayah selatan Filipina.


Malaysia menjadi pengantara perundingan damai antara kedua-dua pihak itu sejak 2001 sehingga perjanjian awal untuk perdamaian dicapai di Kuala Lumpur dalam rundingan dari 2 hingga 7 Oktober lepas. 

No comments:

Post a Comment

komen² anda akan dipublish setelah disahkan..

terima kasih daun keladi..
esok² sudi la komen lagi..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...