Full Width CSS

Ops Kantoi Kerajaan Selangor Sebarkan Tuduhan Membabi Buta #1Malaysia #Air #TolakPR



Berikutan gangguan bekalan air tidak berjadual di Kuala Lumpur dan Gombak ekoran kegagalan rumah pam Wangsa Maju yang berlaku pada 29 Disember 2012, SYABAS telah dilemparkan dengan berbagai-bagai dakwaan dan tuduhan khususnya oleh Kerajaan Negeri Selangor sepanjang berlakunya gangguan bekalan air ini.


Tuduhan 1

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menerusi kenyataan media pada 9 Januari 2013 telah menuduh SYABAS tidak menyelenggarakan sistem Variable Speed Drive (VSD) di rumah pam Wangsa Maju secara berkala (periodically preventive maintenance) kerana mendapati SYABAS tidak mempunyai sebarang kontrak penyelenggaraan berkala dengan pembekal VSD.

Dakwaan ini adalah tidak benar kerana kerja-kerja penyelenggaraan di rumah pam ini dibuat secara berkala yang dilakukan sendiri oleh kakitangan SYABAS dalam kekerapan sekali setiap bulan.

Dalam hal ini, jika semasa kerja penyelenggaraan berkala dan kakitangan SYABAS mendapati terdapat keperluan mendapatkan khidmat pakar termasuk alat ganti, pihak SYABAS akan melantik pihak pembuat dan pembekal VSD tersebut iaitu ABB Malaysia Sdn. Bhd. berdasarkan keperluan (case to case). Jadual penyelenggaraan ini juga dihantar kepada SPAN.


Tuduhan 2

Menteri Besar turut menyebut bahawa insiden ‘pump tripped’ bukan disebabkan kegagalan VSD kerana ia merupakan sistem pintar yang menerima maklumat dari luar seperti keadaan motor, pam, getaran dan suhu.

Dakwaan Menteri Besar ini juga tidak benar kerana sistem VSD merupakan sebahagian daripada komponen penting di dalam sistem rumah pam ini, justeru insiden ‘pump tripped’ juga mempunyai kaitan dengan operasi VSD.

Sekiranya mana-mana komponen sistem mengalami kerosakan akibat sistem ini yang telah beroperasi melepasi kapasiti (overload), maka VSD tidak boleh dihidupkan.


Tuduhan 3

Menteri Besar turut menyatakan alat gantian pada sistem pam berkenaan boleh didapati dari China dengan menggunakan perkhidmatan kurier dan bukan hanya dari Finland seperti yang didakwa SYABAS.

Dalam hal ini, ingin dinyatakan bahawa SYABAS telah dimaklumkan secara lisan oleh pembekal berkenaan bahawa alat ganti didapati dari Finland. Walaupun begitu isunya adalah berapa lama alat ganti dapat diterima setelah dipesan.

Dalam kes ini, ada satu di antara alat pengganti mengambil masa dua setengah bulan untuk diterima.


Tuduhan 4

Menteri Besar turut mendakwa SYABAS gagal mengenalpasti kerosakan pam-pam di rumah pam berkenaan termasuk mendakwa siasatan mereka mendapati pam Nombor 2 telah rosak melebihi setahun dan tidak pernah dibaiki.

Punca sebenar kegagalan rumah pam adalah disebabkan beroperasi dalam keadaan yang ‘overload’ dalam tempoh lama. Kerosakan sebenar yang berlaku pada sistem rumah pam adalah disebabkan kerosakan pada komponen elektrik dan elektronik.

SYABAS mempunyai bukti dan terdapat dokumen yang merekodkan segala aktiviti di rumah pam dan ini termasuklah kerja-kerja penyenggaraan di rumah pam berkenaan.

Salinan dokumen ini telahpun diserahkan kepada pihak SPAN yang telah menubuhkan jawatankuasa khas bagi menjalankan pengauditan terhadap kerja penyelenggaraan rumah pam tersebut.

Sementara itu, Pam No. 2 di rumah pam Wangsa Maju sering mengalami kerosakan pada sistem VSD. Setiap kali berlaku kerosakan, kerja-kerja pembaikan telah dibuat oleh pihak ABB selaku pembuat/pembekal VSD ini kerana kerja-kerja ini hanya boleh dilakukan oleh jurutera pakar dari syarikat tersebut.

Namun begitu, ia tidak dapat bertahan lama apabila kerosakan berulang dan sistem pam tidak berada dalam keadaan stabil kerana beroperasi dalam keadaan ‘overload’. Proses pembaikan yang berulang ini telah kerapkali berlaku dan ini telah mengambil masa yang lama.

Walau bagaimanapun, dalam tempoh tersebut, rumah pam berkenaan masih mengeluarkan air seperti biasa bagi menampung permintaan pengguna.



Tuduhan 5

Menteri Besar mendakwa bahawa sepanjang tahun 2012, hanya 18 hari sahaja pam-pam ini beroperasi melebihi 200 juta liter sehari (JLH).

SYABAS menafikan dakwaan ini kerana SYABAS mempunyai rekod dan statistik yang menunjukkan bahawa pam-pam di Wangsa Maju telah beroperasi melepasi 200 JLH sebanyak 2,023 kali sepanjang tahun 2012 dan bukan 18 hari seperti didakwa Menteri Besar.


Tuduhan 6

Menteri Besar juga mendakwa kerajaan negeri sudah mengetahui masalah kerosakan rumah pam Wangsa Maju dan pernah menegur SYABAS lebih awal, namun tindakan tidak dibuat.

Dakwaan Menteri Besar ini tidak benar kerana kerajaan negeri tidak pernah mengeluarkan sebarang teguran atau yang seumpamanya kepada SYABAS, sama ada bertulis ataupun lisan.


Tuduhan 7


Menteri Besar juga mendakwa permohonan SYABAS membangunkan sistem pengepaman tambahan baru di Wangsa Maju dibuat pada November tahun lepas dan disokong oleh Kerajaan Selangor pada awal tahun ini.

Dakwaan Menteri Besar ini tidak benar. Cadangan pembangunan sistem pengepaman tambahan di Wangsa Maju telah dimajukan kepada Kerajaan Persekutuan pada Jun 2009 diikuti dengan cadangan sama kepada Pejabat Menteri Besar Selangor pada Januari 2010.

Walau bagaimanapun tiada maklum balas diterima sehingga Mac 2012 apabila Kerajaan Persekutuan mengambil keputusan untuk meluluskan cadangan ini dan memberikan pinjaman kepada Kerajaan Negeri Selangor bagi membiayai projek pembinaan rumah pam tambahan ini yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri.

Dari Mac 2012 sehingga hari ini, pembangunan sistem pam tambahan oleh Kerajaan Negeri Selangor masih di tahap reka bentuk.


Tuduhan 8

Menteri Besar juga membuat dakwaan bahawa SYABAS memberi alasan tidak cukup duit untuk membaiki pam itu kerana tarif air tidak naik tetapi rakyat Selangor tidak mahu kenaikan tarif air. Kerajaan negeri menurutnya bersedia membaiki kerosakan rumah pam jika SYABAS tiada wang dan keupayaan.

SYABAS tidak pernah mengeluarkan kenyataan yang menyebut bahawa SYABAS tidak mempunyai wang untuk membaiki pam itu kerana tarif air tidak naik. Ini adalah rekaan Menteri Besar sendiri.

Walau bagaimanapun, sekiranya kerajaan negeri selaku pemegang saham 30 peratus dalam SYABAS ingin membantu dengan menyediakan dana untuk penyelenggaraan alat-alat di rumah pam SYABAS, cadangan ini amatlah kami alu-alukan.


Tuduhan 9

Exco kerajaan negeri, Xavier Jayakumar juga dalam kenyataannya yang disiarkan dalam Sinar Harian turut mengatakan bahawa kerajaan negeri menganggap kelalaian SYABAS merupakan ‘pure negligence dan ‘criminal in nature’ dan menganggap gangguan bekalan air merupakan tindakan sabotaj dan reka cipta oleh SYABAS bagi memburukkan imej Kerajaan Selangor.

Menurutnya lagi, SYABAS tidak mampu membekalkan air kepada rakyat dan berpaksi semata-mata atas keuntungan dengan menaikkan tarif dari semasa ke semasa.

Sementara itu, ADUN Teratai, Janice Lee menuduh isu air dimainkan media kawalan Barisan Nasional (BN) bagi memburukkan Kerajaan Selangor sedangkan ia adalah kegagalan SYABAS. Gangguan bekalan air menurutnya adalah antara sabotaj UMNO-BN terhadap Kerajaan Negeri Selangor.


SYABAS menyangkal semua dakwaan di atas kerana:-

1. Kerosakan pada pam disebabkan rumah pam Wangsa Maju terpaksa beroperasi melebihi kapasiti reka bentuk sejak beberapa tahun kebelakangan ini bagi memenuhi permintaan bekalan air. Kerosakan ini boleh berlaku dan telah berlaku walaupun disenggara secara berjadual sepanjang masa.

2. Isu kekurangan bekalan air terawat telah sekian lama dimaklumkan kepada pihak kerajaan dan diketahui umum dan menjadi satu tajuk perbincangan dalam beberapa tahun ini. Pihak Kerajaan Negeri Selangor sendiri memperakui kesahihan perkara ini dengan menubuhkan Jawatankuasa Khas Pemantauan Bekalan Air yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) sejak Julai 2012 dan juga cadangan membina loji air dengan teknologi membran dan mengoperasikan semula loji air Bukit Jelutong. Oleh itu, tidak timbul isu gangguan bekalan air ini adalah sabotaj dan reka cipta SYABAS.

3. Isu kenaikan tarif yang diperuntukan dalam Perjanjian Konsesi SYABAS (walaupun sehingga kini kenaikan tarif masih ditangguhkan oleh kerajaan negeri) merupakan isu berasingan yang tidak berkaitan dengan kekurangan bekalan air terawat yang perlu ditangani oleh kerajaan negeri dengan menambah kapasiti loji rawatan air. SYABAS hanya pengagih bekalan air yang dibekalkan oleh operator loji rawatan air lantikan kerajaan negeri.

4. Isu SYABAS sengaja merekacipta krisis tidak timbul kerana tidak ada seorang pun yang waras akan tergamak melakukannya, lebih-lebih lagi apabila melibatkan kepentingan orang ramai. Ia juga tidak logik kerana SYABAS terpaksa mengeluarkan kos yang tinggi bagi menguruskan bekalan air alternatif kepada pengguna. SYABAS juga mempunyai rekod statistik yang menyokong kenyataan SYABAS tentang kekurangan bekalan air terawat. SYABAS telah menghantar maklumat tersebut kepada Kerajaan Negeri Selangor menerusi audit yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri dan juga kepada wakil-wakil kerajaan negeri dalam Lembaga Pengarah SYABAS.


Tuduhan 10

Xavier juga mengatakan pembekalan dan agihan air adalah tanggungjawab SYABAS dan bukan kerajaan negeri seperti termaktub di dalam perjanjian konsesi dan kerajaan negeri sedia menjadi saksi kepada pengguna memfailkan tuntutan terhadap SYABAS.

SYABAS menyangkal dakwaan ini dan menegaskan bahawa:-

1. Peranan dan tanggungjawab hakiki SYABAS yang diperuntukan dalam perjanjian konsesi adalah mengagihkan air terawat kepada pengguna dan mengutip caj bekalan air daripada pengguna berdasarkan tarif yang digazetkan oleh kerajaan.

2. Air terawat ini dijual dan dibekalkan oleh operator loji yang telah dilantik sendiri oleh kerajaan negeri untuk merawat air termasuk SPLASH, Konsortium Abass dan Konsortium Air Selangor yang mana Kerajaan Negeri Selangor mempunyai saham di dalamnya. Oleh yang demikian, SYABAS tidak bertanggungjawab dalam menentukan atau meningkatkan kapasiti loji rawatan air.

3. Daripada aspek penambahbaikan, menaiktaraf, mengganti dan pembangunan baru sistem infrastruktur agihan air yang dikategorikan sebagai program CAPEX tertakluk kepada kelulusan SPAN yang merujuk kepada Kerajaan Negeri Selangor dan Kerajaan Persekutuan.

Seperti telah diketahui umum, kelulusan sebahagian besar dari program CAPEX ini telah dibekukan oleh SPAN atas arahan Kerajaan Negeri Selangor sejak tahun 2008. Ini bermakna Kerajaan Negeri Selangor telah menghalang SYABAS daripada membuat kerja-kerja penambahbaikan, menaiktaraf, mengganti, atau pembangunan projek-projek baru sistem infrastruktur agihan air ini.

4. Bagi memastikan operasi berjalan seperti ditetapkan dalam perjanjian konsesi, kenaikan tarif air perlu diselaraskan berdasarkan kepada perjanjian konsesi namun perkara ini telah ditangguhkan oleh Kerajaan Negeri Selangor. SYABAS walau bagaimanapun kekal mengurus operasi tanpa kompromi terhadap kualiti perkhidmatan dan penyenggaraan infrastruktur sistem agihan air. Kekangan yang dihadapi daripada pelarasan tarif hanya menyebabkan SYABAS terpaksa menangguhkan sebahagian pembayaran kos belian air dari operator loji.

5. Adalah tidak wajar bagi kerajaan negeri yang memegang 30 peratus ekuiti dan mempunyai wakil dalam Lembaga Pengarah SYABAS memberikan galakan kepada pengguna untuk memfailkan saman terhadap SYABAS sedangkan ketidakupayaan dan kekangan yang dihadapi oleh SYABAS adalah disebabkan oleh halangan kerajaan negeri daripada meluluskan projek-projek di bawah program penambahbaikan, menaiktaraf, mengganti atau pembangunan baru (Program CAPEX) seperti yang dicadangkan.


Tuduhan 11

Xavier juga mendakwa bahawa isu air berlaku disebabkan keangkuhan SYABAS dan SYABAS tidak menghubungi SUK, Datuk Mohammed Khusrin Munawi bagi mendapatkan bantuan lori tangki dari PBT tetapi SYABAS meminta bantuan dari syarikat bekalan air dari luar.

1. SYABAS ingin menegaskan bahawa dalam mesyuarat harian Jawatankuasa Khas Pemantauan Bekalan Air Negeri Selangor yang ditubuhkan oleh kerajaan negeri dan dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri atau wakilnya, perkara ini telah dibincang dan dibentangkan. Oleh yang demikian, tidak timbul isu SYABAS tidak meminta bantuan atau tidak memaklumkan kepada kerajaan negeri. Oleh itu, kenyataan tersebut adalah tidak benar.

2. Walaupun dalam mesyuarat yang diadakan setiap hari, pihak SYABAS telah memaklumkan kepada kerajaan negeri tentang bantuan yang diperlukan bagi meringankan masalah yang ditanggung oleh pengguna, namun bantuan yang diterima tidak seperti yang diharapkan oleh SYABAS. Kerajaan Negeri Selangor menerusi pihak Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), memulakan penghantaran bantuan 4 buah lori tangki hanya mulai 5 Januari 2013 iaitu selepas enam hari kejadian berlaku.

Berikutnya pada 7 Januari 2013 (enam buah lori), 8 Januari (empat), 9 Januari (empat), 10 Januari (dua), 11 Januari (10), 12 Januari (13), 13 Januari (10) dan 14 Januari (dua). Penghantaran lori-lori tangki daripada pihak PBT ini tidak tetap dan ada di antara hari-hari yang tiada lori dihantar kepada SYABAS.

Selain itu, bantuan yang dihantar oleh Kerajaan Negeri Selangor juga tidak menyeluruh kerana tidak menyediakan sukarelawan dan petugas untuk membantu mengangkat air ke rumah pengguna.

Sebagai sebuah negeri yang besar seperti Selangor sepatutnya lebih ramai petugas sukarelawan dan bantuan lori tangki dapat disediakan. Malahan sebahagian lori yang digunakan didapati tidak menepati piawaian kualiti air ditetapkan dan tidak sesuai digunakan untuk membekalkan air. Oleh itu, lori-lori tersebut terpaksa dihantar semula untuk proses cucian dan selepas diuji barulah boleh digunakan.


Tuduhan 12

Ahli Parlimen Ampang, Zuraidah Kamaruddin mendakwa SYABAS tidak mengambil kira perancangan jangka panjang dalam aspek penyenggaraan, sistem naik taraf, pemantauan berkala, sistem sokongan yang lebih efektif dan pengurusan berwibawa.

SYABAS menafikan kenyataan ini dan ia tidak benar kerana program penyenggaraan berkala rumah pam ini adalah sebahagian daripada program penyenggaraan tahunan peralatan infrastruktur sistem agihan air terawat yang dimajukan pada awal tahun setiap tahun kepada SPAN untuk kelulusan seperti termaktub di dalam Perjanjian Konsesi SYABAS. Laporan status kerja-kerja penyenggaraan pula dimajukan sekali dalam tempoh enam bulan kepada SPAN untuk pemantauannya.

Bagi kerja-kerja menaiktaraf, membaik pulih, mengganti dan pembangunan baru infrastruktur sistem agihan yang melibatkan program perbelanjaan modal (CAPEX), SYABAS telah dihalang daripada melaksanakannya apabila ia dibekukan oleh SPAN atas arahan Kerajaan Negeri Selangor sejak Julai 2008. Berikutan itu, SYABAS hanya dibenarkan untuk menjalankan kerja-kerja kritikal sahaja serta penyelenggaraan rutin, itupun selepas mendapat kelulusan SPAN. Dalam keadaan seperti ini SYABAS seolah-olah terikat tangannya dan tidak banyak yang mampu dilakukan akibat daripada arahan pembekuan ini.

Oleh itu, mendakwa SYABAS tidak mengambil kira perancangan jangka panjang adalah tuduhan yang tidak berasas dan tidak adil sama sekali.


Tuduhan 13

Menteri Besar turut mendakwa bahawa gangguan bekalan air membuktikan kegagalan projek penswastaan air kepada syarikat yang tidak berkelayakan dan kompeten.

SYABAS menyangkal dakwaan ini dan bertegas bahawa gangguan bekalan air adalah disebabkan kegagalan rumah pam yang telah beroperasi secara ‘overload’ dalam tempoh yang panjang disebabkan permintaan yang meningkat berterusan. Kegagalan rumah pam ini berfungsi adalah berkait dengan permintaan yang meningkat sehingga menyebabkan rumah pam terpaksa beroperasi melebihi kadar kebiasaannya sementara menunggu bekalan air terawat tambahan yang belum disediakan oleh Kerajaan Negeri Selangor.

Kerajaan negeri atas alasannya sendiri tidak mahu menerima hakikat yang disokong oleh fakta-fakta bahawa negeri Selangor mengalami kekurangan dalam pengeluaran air terawat berbanding permintaan yang meningkat.


Tuduhan 14

Dalam keadaan yang sama, ADUN Teratai, Janice Lee mendakwa bahawa isu masalah air menunjukkan ketidakupayaan Puncak Niaga dan SYABAS mengendalikan pengurusan air kerana krisis ini bukanlah yang pertama kali berlaku di Selangor.

SYABAS menyangkal dakwaan ini dan menegaskan bahawa Menteri Besar sendiri dan Kerajaan Selangor telah dimaklumkan semenjak tahun 2005 lagi bahawa permintaan air terawat di negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya meningkat iaitu pada kadar 3.5 peratus setiap tahun dan pengeluaran air dari kapasiti loji-loji yang sedia ada telah tidak mencukupi dan sememangnya ada di antara 34 loji sedia ada telah beroperasi melepasi kapasiti reka bentuk.

Keadaan bertambah buruk apabila rizab bekalan air yang tinggal pada masa ini adalah lebih kurang satu peratus sahaja. Kerajaan negeri bertanggungjawab menambah kapasiti rawatan air manakala di bawah Perjanjian Konsesi, SYABAS hanya dipertanggungjawabkan ke atas pengagihan air terawat kepada pengguna berdasarkan kuantiti yang dibekalkan oleh operator loji, syarikat konsesi yang dilantik oleh kerajaan negeri bagi merawat dan membekalkan air kepada SYABAS.

Kerosakan pada pam disebabkan rumah pam Wangsa Maju terpaksa beroperasi melebihi kapasiti rekabentuk sejak beberapa tahun kebelakangan ini bagi memastikan pengguna mendapat bekalan air. Kerosakan ini boleh berlaku dan telah berlaku walaupun ianya disenggara secara berjadual sepanjang masa. Keengganan Kerajaan Negeri Selangor meluluskan projek Loji Rawatan Air Langat 2 dan kelewatan dalam membangunkan sistem pam tambahan yang hanya diluluskan pada bulan Mac 2012 menyebabkan SYABAS terpaksa menguruskan rumah pam ini pada tahap ‘overload’ untuk memenuhi permintaan yang tinggi.

Selain daripada itu, tindakan terhadap Puncak Niaga adalah tidak adil sekali kerana Puncak Niaga tidak terlibat dalam isu ini, disebaliknya telah membantu dalam mengoperasikan loji Sungai Langat pada tahap ‘overload’ sehingga 520 JLH daripada biasa 470 JLH.


Tuduhan 15

Ahli Parlimen Ampang, Zuraidah Kamaruddin seperti disiarkan Sinar Harian mendakwa bahawa SYABAS gagal menyediakan back-up bekalan air yang mencukupi kepada penduduk dan SYABAS tidak mempunyai pelan kecemasan untuk mengatasi masalah ini.

Dakwaan tersebut tidak berasas kerana ‘back-up’ bekalan air wujud dengan adanya kapasiti rizab bekalan air terawat yang mencukupi. Pada masa ini, rizab kapasiti bekalan hanya sekitar satu peratus, jauh lebih rendah daripada paras selesa industri bekalan air (20 peratus).

Tanggungjawab bagi menyediakan rizab kapasiti bekalan air terawat yang mencukupi adalah kerajaan negeri, bukannya SYABAS. Situasi di kawasan Gombak dan Kuala Lumpur boleh dielakkan jika bekalan air terawat mempunyai rizab kapasiti yang mencukupi.

Pihak SYABAS telah menjalankan tanggungjawabnya seperti yang terkandung dalam perjanjian konsesi. Namun demikian dalam keadaan-keadaan tertentu, SYABAS tidak dapat mengelak daripada berlaku masalah yang mengakibatkan SYABAS tidak dapat menjalankan obligasinya dengan berkesan jika terdapat pihak lain tidak menjalankan tanggungjawabnya.

Misalnya jika berlaku pencemaran sungai akibat tumpahan minyak dan loji loji rawatan terpaksa berhenti operasinya, SYABAS tidak dapat menyalurkan air kepada pengguna.

Namun sebagai memenuhi tanggungjawabnya SYABAS terpaksa membekalkan air menerusi lori lori tangki bagi memastikan bekalan air sampai kepada pengguna.

Namun demikian bukanlah tanggungjawab SYABAS untuk membersihkan sungai daripada tumpahan minyak atau memastikan sungai tidak tercemar. Ia adalah tanggungjawab pihak Kerajaan Negeri Selangor.

Oleh itu, adalah tidak adil untuk meletakkan kesalahan ini kepada SYABAS jika dalam isu gangguan bekalan air berpunca daripada kegagalan kerajaan negeri menjalankan tanggungjawabnya.

Apatah lagi kerana kerajaan negeri memiliki 30 peratus saham di dalam SYABAS tetapi membiarkan SYABAS berhadapan dengan segala kekangan tanpa menghulurkan sebarang bantuan, sebaliknya hanya mencari kesalahan dan kelemahan SYABAS semata-mata.

Sementara itu, semasa krisis ini berlaku, Pelan Tindakan Kecemasan (ERP) Kod Kuning telah diaktifkan oleh SYABAS pada 29 Disember 2012 j pada pukul 8 pagi.

Pelan ERP ini yang beroperasi 24 x 7 adalah sekretariat bertindak setempat bagi memantau dan mengurus bekalan bantuan air kepada pengguna yang menghadapi gangguan bekalan air.


Bekalan air dihantar kepada pengguna bagi kawasan gangguan kali ini diberikan melalui lori-lori tangki (86 buah) dengan jumlah penghantaran sebanyak 2,891 trip (sehingga 12 tengah hari 12 Januari 2013) dan 287 tangki statik. Walau bagaimanapun, keupayaan pelan tindakan kecemasan adalah terhad kerana mana-mana bekalan air tidak dirancang, direkabentuk dan dibina untuk kegagalan (designed not to fail).

Kesimpulan

Belum pernah terjadi keadaan sebuah kerajaan negeri menghalang kerja-kerja penambahbaikan perkhidmatan yang memberi manfaat kepada rakyat.

Kerajaan Negeri Selangor perlu memikirkan soal kesejahteraan dan kebajikan rakyat serta meluluskan program-program yang dicadangkan oleh SYABAS untuk kebaikan rakyat. Sikap menyalahkan SYABAS yang memberikan perkhidmatan kepada rakyat tanpa memberikan bantuan yang sewajarnya selaku sebuah kerajaan adalah umpama baling batu sembunyi tangan

Post a Comment

2 Comments

  1. Lain Kali terang pada rakyat jujur jujur.. ni kebanyakkan semua sudah salahkan kerajaan Dan syabas... Mereka pakatan sudah monopoli cerita syabas kroni umno.. secara automatiknya syabas dilabel kroni umno yang sabotaj rakyat selangor... Nasiblah korang ada info simpan Dan tidak disebar secara agresif kepada rakyat.. tunggu ajelah kekalahan umno pru 13 ni diselangor.. takkan tidak sedar lagi kes ni berlaku dekat pilihanraya Dan secara automatiknya pakatan guna isu ini sebangai sabotaj umno... elok disebar secara agresif.. kawan aku duduk area masalah air ni semua sudah salahkan kerajaan umno bukan kerajaan pakatan.....

    ReplyDelete
  2. Salam tuan,

    blog tuan telah dipaut dalam Kinta Menjerit mohon pautan kembali
    http://paritbuntarrebels.blogspot.com/


    tq

    ReplyDelete

komen² anda akan dipublish setelah disahkan..

terima kasih daun keladi..
esok² sudi la komen lagi..