Tuesday, April 15, 2014

Bank Nak Kutip Hutang Pada Mangsa #MH370 Diminta Bertimbang Rasa #1Malaysia


Pihak pemiutang terutama institusi perbankan diminta bersikap lebih bertimbang rasa dan mengelak mengguris hati keluarga penumpang serta anak kapal pesawat MH370 dengan mengemukakan notis peringatan, notis undang-undang atau penyitaan terhadap pinjaman mereka.

Pengerusi Pertubuhan Sukarelawan Peguam Malaysia (SukaGuam), Datuk Khairul Anwar Rahmat berkata, sebaliknya, pihak bank boleh mencari kaedah lain untuk melangsaikan tunggakan termasuk memanfaatkan insurans gadai janji berkurangan tempoh (MRTA) bersama syarikat insurans.

Katanya, kini adalah masa paling sesuai untuk menggunakan MRTA memandangkan purata mereka yang menuntut insurans tersebut adalah sangat rendah setiap tahun, sekali gus mengurangkan tekanan dihadapi oleh keluarga penumpang dan anak kapal pesawat milik Malaysian Airline System Berhad (MAS) berkenaan.SukaGuam, tambahnya, sedia membantu keluarga penumpang dan anak kapal yang menghadapi masalah dengan pihak bank sebagai orang tengah dalam sebarang perbincangan bersama institusi berkenaan selain memberikan nasihat terbaik kepada kaum keluarga dalam hal ehwal tuntutan berkaitan.

“Sebelum pihak bank mengeluarkan sebarang notis peringatan, notis undang-undang atau menyita, bank perlu lihat aspek perlindungan lain termasuk menuntut pembayaran ke syarikat insurans. Saya percaya, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) bank berkenaan boleh memikirkan bukan berdasarkan faktor komersial tetapi faktor kemanusiaan dalam hal ini.

“Keluarga mangsa perlu juga prihatin dalam melaporkan kehilangan ini kepada semua pihak yang ada kepentingan pinjaman supaya pihak tersebut boleh melayan kes ini secara tersendiri dan proaktif. Tidak perlu melibatkan tuntutan bayaran atau menyita, pihak bank boleh fikir sendiri kerana kes ini amat unik," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Perdana Menteri Australia, Tony Abbott dilaporkan memberitahu, operasi tersebut mungkin akan berterusan untuk tempoh masa yang lama.

Menurutnya, operasi mencari yang diketuai negaranya kini berusaha sedaya upaya untuk mengesan seberapa banyak isyarat bagi menentukan kedudukan terakhir MH370 sebelum menggerakkan kenderaan automatik dasar laut bagi mengesahkan penemuan pesawat berkenaan.

Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Mohd. Khalid Atan meminta pihak majikan untuk menunjukkan sedikit fleksibiliti dan memahami perasaan keluarga penumpang dan anak kapal MH370 dengan memberi motivasi terhadap mereka.

“Mereka ada tanggungan dan bergantung hidup dengan suami, kita harap mana-mana pihak khususnya mereka yang ada pinjaman, kereta, rumah dan sebagainya diberikan masa untuk rumuskan keputusan sebenar (berhubung kehilangan pesawat itu)," katanya.

No comments:

Post a Comment

komen² anda akan dipublish setelah disahkan..

terima kasih daun keladi..
esok² sudi la komen lagi..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...