Tuesday, September 9, 2014

Nama Calon MB Selangor : Sultan Dukacita Terhadap PKR & DAP Ingkar Titah Baginda


Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa amat dukacita dengan tindakan Parti Keadi­lan Rakyat (PKR) dan DAP yang ing­kar dengan titah baginda pada 27 Ogos lalu supaya mengemukakan lebih daripada dua nama calon daripada parti masing-ma­sing untuk dipertimbangkan sebagai Menteri Besar yang baharu.

Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, tindakan PKR dan DAP itu menggambarkan kebiadaban kepada institusi raja dan merupakan satu perbuatan derhaka kepada titah baginda.

Menurutnya, Sultan Sharafuddin telah menerima senarai calon Menteri Besar daripada ketiga-tiga parti dalam pakatan pembangkang namun hanya Pas yang akur titah baginda dengan menyenaraikan tiga nama.

"PKR dan DAP pula masing-masing mengemukakan hanya satu nama yang sama iaitu Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Menteri Besar," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau menambah, titah baginda supaya mengemukakan senarai lebih daripada dua calon Menteri Besar adalah satu amalan yang dilaksanakan oleh Sultan Selangor.

"Ini adalah bagi membolehkan baginda membuat pilihan terhadap bakal Menteri Besar dengan melihat bukan sahaja sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) malah dari segi kemahiran, pengalaman, integriti dan kebolehan seseorang ADUN tersebut.

"Ciri-ciri ini amat penting bagi menjamin perjalanan pentadbiran negeri berjalan dengan baik dan lancar demi keharmonian rakyat Selangor," katanya.

Beliau berkata, Sultan Selangor berkeyakinan terdapat ramai calon dalam pakatan pembangkang yang mempunyai ciri-ciri sedemikian bagi menerajui kerajaan negeri.

Dengan penerimaan senarai berkenaan, kata Mohamad Munir, baginda akan meneliti calon-calon terbabit dan mengambil kira segala aspek dalam menilai setiap individu sebelum sebarang keputusan dibuat.

"Pada masa yang sama memandangkan kuasa melantik Menteri Besar terletak pada budi bicara Sultan Selangor, maka baginda juga akan meneliti nama-nama ADUN yang lain daripada pakatan pembangkang yang berkelayakan dan pada fikiran baginda mendapat kepercayaan majoriti ADUN," katanya.

No comments:

Post a Comment

komen² anda akan dipublish setelah disahkan..

terima kasih daun keladi..
esok² sudi la komen lagi..

BAJU SEA GAMES 2017

BAJU SEA GAMES 2017
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...