Tuesday, October 7, 2014

Perkara 20 Masih Relevan - Rahman Dahlan


Perkara 20 yang dikemukakan pemimpin dari Sabah semasa proses perundingan pembentukan Persekutuan Malaysia pada tahun 1963 masih relevan kerana kandungannya turut diambil kira dalam pembentukan Perlembagaan Persekutuan.

Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata 17 daripada 20 perkara yang terkandung dalam dokumen berkenaan, yang disifatkannya sebagai ‘wish list’ pemimpin Sabah ketika itu, sudah dimasukkan ke dalam Perlembagaan Malaysia.

Bagaimanapun, kata Abdul Rahman, tiga perkara lagi termasuk mengenai agama rasmi untuk negeri Sabah, belum diputuskan selepas ada perbezaan pandangan di kalangan pemimpin Sabah sendiri mengenai keperluan untuk mempunyai agama rasmi.

Abdul Rahman yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagaimanapun berkata pada tahun 1973, semasa Tun Datu Mustapha Datu Harun menjadi Ketua Menteri Sabah, usul menjadikan agama Islam sebagai agama rasmi negeri Sabah diterima sebulat suara di Dewan Undangan Negeri.

“Pada tahun 1973, Tun Datu Mustapha membawa usul ke Dewan Undangan Negeri Sabah untuk menjadikan agama Islam sebagai agama rasmi negeri. Usul berkenaan dibahaskan oleh Anggota Dewan Undangan Negeri daripada kalangan Islam, Kristian dan Cina.

“Usul berkenaan diluluskan secara sebulat suara melalui undian,” katanya pada majlis Forum dan Dialog Rakyat Bertajuk ‘Sabah, Dalam Atau Luar Malaysia’ di sini hari ini. Panel lain dalam forum berkenaan ialah Anggota Parlimen Penampang Darrel Leiking.

Menurut Abdul Rahman sekiranya keputusan yang dibuat kerajaan negeri Sabah pada tahun 1973 berkenaan ingin diubah semula maka usul perlu dikemukakan di Dewan Undangan Negeri serta melalui proses yang sama untuk memperoleh keputusan.

Mengenai isu Borneonisasi, Abdul Rahman menafikan bahawa ketua-ketua jabatan, agensi dan badan berkanun persekutuan di Sabah dibolot oleh pegawai dari Semenanjung kerana berdasarkan statistik majoriti ketua-ketua jabatan berkenaan dipegang oleh rakyat Sabah.

Bagaimanapun, Abdul Rahman tidak bersetuju sekiranya Borneonisasi itu diertikan sebagai semua ketua jabatan dan agensi persekutuan di Sabah mesti disandang oleh rakyat Sabah kerana ia tidak selari dengan konsep semangat Malaysia sebagai negara persekutuan.

Justeru katanya sesetengah jabatan dan agensi persekutuan perlu juga diketuai oleh rakyat Malaysia dari negeri-negeri lain terutama agensi berkaitan keselamatan berdasarkan kosep persekutuan yang memerlukan amalan ‘memberi dan menerima’

No comments:

Post a Comment

komen² anda akan dipublish setelah disahkan..

terima kasih daun keladi..
esok² sudi la komen lagi..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...