Full Width CSS

Mulai Tahun Depan Perjalanan Ke Terengganu Lebih Dekat


Persidangan Dewan Negara diberitahu bahawa projek Lebuh Raya Pantai Timur Fasa Dua (LPT2) dijangka dapat dibuka sepenuhnya kepada lalu lintas pada 31 Disember ini.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Dato’ Rosnah Abdul Rashid Shirlin dalam laporan Bernama berkata LPT2 yang sudah 99 peratus siap, akan dibuka sepenuhnya pada tarikh itu jika tiada kejadian luar jangka seperti banjir besar.

“Pada masa ini, jajaran LPT2 yang telah siap dan boleh dilalui pengguna ialah sepanjang 159 kilometer (km) atau 86 peratus daripada 184 km jarak keseluruhan projek berkenaan.

“Ini termasuklah jajaran dari persimpangan Cheneh ke persimpangan Kijal sepanjang 29 km yang dibuka pada lalu lintas pada 21 November lalu,” katanya menjawab soalan Senator To’ Puan Zaitun Mat Amin.

Senator To’ Puan Zaitun Mat Amin

Rosnah berkata, baki jajaran yang masih dalam peringkat akhir pembinaan dan belum disiapkan melibatkan jajaran dari persimpangan Kijal ke persimpangan Paka yang sepanjang 25 km.

Zaitun bertanya mengenai status terkini pembinaan projek infrastruktur berimpak tinggi itu di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh itu dan kekangan yang menyebabkan kelewatan projek berkenaan.

Rosnah berkata, antara faktor yang mengakibatkan projek itu lewat siap ialah berlakunya kejadian pergerakan tanah di tiga jambatan di laluan jajaran dari persimpangan Kijal ke persimpangan Paka.

Oleh itu, katanya, bagi memastikan pematuhan terhadap tahap keselamatan, pihak kementerian terpaksa memberi Tempoh Lanjutan Masa (EOT) selama empat bulan kepada kontraktor untuk melaksanakan kerja-kerja pengukuhan struktur tanah dan jambatan berkenaan.

Menjawab soalan tambahan Zaitun sama ada kementerian menetap atau melantik pihak yang akan menyelenggara lebuh raya itu, Rosnah berkata setakat ini, pihaknya belum membuat sebarang keputusan.

“Bagaimanapun, kita sedang memperincikan soal pelantikan itu dan kita jangkakan perjanjian mengenainya dapat ditandatangani seawal Jun depan.

“Dan sepanjang tempoh itu, pengguna akan menikmati perjalanan secara percuma di lebuh raya itu,” katanya.

Post a Comment

0 Comments