Sunday, May 17, 2015

Transkrip Penuh Ucapan @NajibRazak Semasa Majlis Sepetang Bersama PM


Berikut adalah transkrip penuh ucapan Perdana Menteri semasa di Majlis Sepetang Bersama Perdana Menteri Dato' Sri Najib Tun Razak di Kelab Eksekutif Kelang.______

Alhamdulillah, majlis yang diberi nama Sepetang bersama Perdana Menteri.

Tuan-tuan dan puan-puan datang dengan kerelaan hati. Datang untuk mendengar penjelasan daripada saya. Ada juga datang kerana menyokong kuat kepimpinan saya.

Saya ucap terima kasih kerana sokongan seperti ini akan membolehkan saya meneruskan perjuangan.

Saya dah kata bahawa mana-mana individu tidak boleh menentukan kepemimpinan negara kita, yang boleh menentukan kepemimpinan negara kita ialah parti dan rakyat.

Selagi parti menyokong, saya tetap akan meneruskan kepemimpinan parti dan negara.

Selagi rakyat sokong, saya akan terus berbakti kepada rakyat dan negara kerana kita banyak lagi agenda yang perlu kita laksanakan.

Kita tak mampu berpecah dan bercerai berai, kita tak mampu pemimpin diadu dombakan, kita tak mampu apa-apa yang disebarkan yang boleh menghilangkan keyakinan kepada pemimpin.

Kita terima kritikan yang membina dan konstruktif tetapi bak kata Datuk Noh (Datuk Seri Noh Omar) tadi, kalau ada orang yang tebuk kapal dari dalam, yang akan rugi ialah parti yang kita cintai.

Kita boleh berselisih pendapat, tidak menjadi masalah tetapi jangan kita merosakkan parti yang kita telah bangunkan selamanya.

Parti UMNO terlalu banyak jasanya, kita telah memimpin negara kita sekian lama, saya ucap terima kasih Tan Sri Abu Hassan memuji saya, dia kata, saya Perdana Menteri yang terbaik.

Tapi dengan perasaan rendah diri, saya tidak menganggap saya Perdana Menteri yang terbaik, setiap Perdana Menteri ada jasa pada zaman dia.

Kita tahu jasa Tunku (Tunku Abdul Rahman) pada negara, tentu sekali saya tidak boleh kata saya lebih baik daripada Allahyarham Tun Razak Perdana Menteri yang kedua. Dan kemudiannya ada pemimpin-pemimpin yang lain yang menjadi Perdana Menteri.

Yang penting ialah untuk kita melakukan yang terbaik dalam zaman kita, sejarah akan menilai kita, saya berazam melakukan yang terbaik untuk rakyat negara ini.

Saya juga ada niat yang lain, saya cuba membentangkan laporan GTP, ETP, kepada rakyat, di mana Tan Sri Abu Hassan mengingatkan, tak pernah kita lakukan dalam sejarah mana-mana negara pun tak ada pemimpin yang melaporkan report card kepada rakyat.

Saya laporkan report card, saya beritahu bahawa dari segi ETP dan GTP, kita telah mencapai kadar pertumbuhan ekonomi enam peratus tahun sudah, saya nak tanya berapa buah negara boleh mencapai kadar pertumbuhan enam peratus. Boleh bilang dengan jari sebelah tangan, kita mengatasi banyak negara lain.

Suku pertama kadar pertumbuhan ekonomi kita 5.6 peratus. Pelaburan yang tertinggi tahun 2013 dan 2014 dalam sejarah negara kita.

Kita lihat bahawa bursa saham melebihi 1800 indeksnya.

Sejak saya menjadi Perdana Menteri kadar ukuran kekayaan negara (GNI) dalam tempoh lima tahun GNI bertambah kepada 49 peratus bererti kita telah menambahkan kekayaan negara.

Saya tak lupa bahawa banyak lagi yang patut kita lakukan, kita lihat bahawa lanskap negara kita berubah, kita ada projek besar MRT yang belum pernah lagi kita laksanakan tapi kita mampu laksanakan projek besar ini.

Kita buat projek Iskandar di Johor, kita buat Pan Borneo Highway, orang Sarawak begitu bangga sekali, dia kata tak pernah selama ini, 50 tahun dia tunggu Pan Borneo Highway, kita laksanakan. Sebab itulah orang Sarawak menyokong kuat, orang Sabah pun menyokong kuat.

Tadi di Johor 15,000 orang berhimpun menyatakan sokongan, bersemnagat, sebab Johor adalah negeri yang melahirkan UMNO.
Tak kurang penting juga di Selangor ini, kita menghimpunkan 2,000 orang, kalau ada dewan lebih besar mungkin lebih ramai berhimpun.

Tapi kita berlawan dari segi bilangan, kita nak sokongan yang ikhlas kerana orang yakin bahawa apa yang kita ada hari ini, itulah yang patut kita pertahankan.

Yakin bahawa kalau kita pertahankan apa yang ada hari ini, kita akan meraih sesuatu yang lebih baik pada masa yang akan datang.

Saya amat komited untuk melakukan yang terbaik untuk parti dan negara, setiap Perdana Menteri dalam zamannya memang ada cabarannya dan ada ujiannya.

Dulu-dulu pun ada ujiannya, zaman Tun Dr Mahathir lagi banyak ujiannya, ujian UMNO diharamkan tahun 1987, masa team A, team B lawan, apalata Tun Dr Mahathir, dia kata, kalau dia menang satu undi pun dia tetap jadi Perdana Menteri. Dia menang dengan majoriti yang nipis 43 undi sahaja maknanya beza 20 undi sahaja.

Tetapi bermakna hampir 50 peratus menolak kepimpinan dia, tetapi dia terus memimpin, dia tak turun jawatan.

Jadi maknanya apa, maknanya saya juga amalkan prinsip yang sama, kalau hari ini orang sokong saya mengapa saya patut turun.

Saya dipilih nelalui proses demokrasi, yang pilih saya siapa, tuan-tuan yang pilih saya.

Pilih melalui apa, saya tak dapat undi bonus sebab perlembagaan UMNO saya pinda, saya pinda supaya UMNO lebih demokratik dan UMNO lebih terbuka.

Kalau dulu perlembagaan UMNO, nak jadi Presiden UMNO, nak cabar Presiden UMNO mesti dapat minima 63 bahagian, ada minima kuota nak lawan Perdana Menteri ataupun Presiden UMNO sebab bila jadi Presiden UMNO automatik jadi Perdana Menteri.

Jadi Dr Mahathir bolehlah kekal 22 tahun jadi Perdana Menteri menggunakan perlembagaan macam itu.

Saya sebaliknya bila jadi Presiden UMNO, saya kata UMNO patut lebih terbuka, saya kata tak apa, kita biarkan, orang nak bertanding...bertandinglah, hak dia, Alhamdulillah, saya menang tanpa bertanding jadi Presiden UMNO.

Saya tidak bergantung kepada kuota ataupun undi bonus, sebelum itu ada undi bonus, kemudian kita ganti dengan kuota. Jadi saya serah nasib saya pada parti, parti dah bagi mandat pada saya, makna saya akan teruskan khidmat saya sebagai Presiden dan Perdana Menteri.

Yang anehnya, Presiden PAS (Datuk Seri Hadi Awang) pun faham, Presiden PAS pun kata saya tak patut turun...dia kata saya ini dah dipilih melalui sistem yang adil dan sistem demokrasi. PAS pun faham.

Kalau saya dipilih melalui sistem yang adil dan terbuka, kita teruskanlah, buatlah apa yang patut kita buat untuk parti dan negara.

Kalau ada masalah, ada kelemahan, kita sama-sama baikilah, kita boleh ambil langkah yang mudah, ambil prinsip populis tapi saya beranikan diri saya, adakala untuk kepentingan negara kita kena pilih keputusan yang sukar.

Macam orang sakit kena makan ubat, kalau ikut ubat antibiotik kena habis kosnya, tak boleh ambil (makan) sehari dua sahaja, kena habiskan kosnya baru boleh sembuh, baru pulih kesihatan.

Saya lihat keadaan kewangan negara kita memerlukan kepada reform sistem cukai, sebab daripada 13 juta orang bekerja cuma 2 juta sahaja bayar cukai.

Dengan revenue taxs base kita yang terlalu terhad, tak boleh menampung keperluan kewangan kita pada masa akan datang.

Banyak yang perlu kita belanjakan, mana-mana saya pergi pun, wakil rakyat minta jalan, masjid, surau, sekolah, hospital, klinik...jadi kalau kita punya hasil menguncup, tambah-tambah lagi harga minyak dah merudum 50 peratus, walaupun ada kenaikkan sedikit tetapi pergantungan pada minyak macam dulu sudah tidak boleh lagi.

Tak boleh kita pertahankan maka kita kena cari sumber yang lain.

165 buah negara dah laksanakan GST, kita dah buat persediaan sebenarnya, sebab itulah kita perkenalkan beberapa langkah tertentu, misalnya banyak produk yang kita kecualikan dari GST, barang-barang keperluan hingga menjadikan sistem GST kita terlalu complicated, tapi kita nak jaga kebajikan rakyat.

Tahun ini kita tambah BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia), tahun sudah (2014) RM650, tahun ini RM950, maknanya RM300 itu untuk menanggung kenaikan harga yang kita jangkakan tetapi kita sudah berikan melalui BR1M.

Mereka yang bayar cukai pun kita kurangkan 1 hingga 3 peratus untuk tahun ini taksirannya, korporat taxs pun dah kurangkan, jadi tengoklah keseluruhannya.

Saya faham ada yang rasa tak puashati, tapi kita ada masa lagi untuk kita membuat penambahbaikkan, saya sedang mengumpul maklumat-maklumat apa yang patut kita lakukan.

Tahap penguatkuasaan, kita mesti tingkatkan, hak mana yang buat keuntungan berlebihan, bawa mereka ke mahkamah, ambil tindakan pada mereka.

Orang kita jangan marah, komplin pada pihak berkenaan, kita ada call centre 24 jam, telefon beritahu tempat-tempat berkenaan ini mengenakan harga yang tak berpatutan, laporkan pada pihak berkuasa, kita akan ambil tindakan.

Dalam pada itu saya akan lihat kalau ada apa-apa yang boleh kita lakukan penambahbaikkan GST ini, kita akan cuba buat.

Percayalah, lambat laun orang akan terima ini sebagai satu langkah yang baik untuk kepentingan ekonomi negara.

Saya dah tetapkan dalam belanjawan akan datang ini, kalau kita dapat pendapatan, katalah RM10 bilion, saya akan paparkan pada rakyat apa yang kiita gunakan peruntukan tambahan ini, kita buat sekolah ke, elaun kakitangan kerajaan ke, kita tambah pencen untuk Mubarak ke, naik elaun Kemas ke, apa-apa pun kita akan beritahu pada rakyat.

Hasil GST ini ialah untuk rakyat, akhirnya untuk rakyat, jangan bimbang, saya akan bersikap telus dalam hal ini dan rakyat akan tahu sebenarnya apa kebaikkan melalui GST ini, tunggulah ucapan belanjawan yang akan datang ini kita akan bentangkan detailnya. Bagilah ruang pada kita.

BR1M, Tun Dr Mahathir tak setuju pada BR1M, dia tak setuju, dia kata BR1M buat orang malas, saya tak taulah kalau tuan-tuan setuju, kerana BR1M kita malas ke...

Kita perkenalkan BR1M untuk apa, nak tolong orang yang berpendapatan rendah, bila lagi nak tolong, kita kena bantu, sekurang-kurangnya bila dapat BR1M, dapur dia berasaplah, beras dia boleh beli, susu boleh beli, gula boleh beli, pakaian untuk anak-anak pun boleh beli, saya suruh beli barang keperluan. Itulah yang kita buat dan itu sebab kita buat BR1M.

Siapa setuju kita batal BR1M (suara bawah tak setuju), siapa setuju kita teruskan BR1M (suara bawah setuju sambil angkat tangan). Bukan sahaja diteruskan tapi minta tambah lagi, dan BR1M ini sementara, beberapa tahun sahaja, lepas BR1M ini kita fikir yang lain pulak.

Di negara Amerika ada sistem social safety net, kalau tak ada pekerjaan ada welfare payment, kalau miskin ada Green Stamp.

Maknanya kalau pergi ke kedai dengan Green Stamp, kita boleh beli barang keperluan, bila kita beli barang keperluan maknanya BR1Mlah juga. Cuma kita beri BR1M dalam bentuk wang tunai yang kita kreditkan dalam akaun. Social Safety Net bukanlah suatu sistem unik pada Malaysia.

Selepas lima tahun kita kaji balik samada nak teruskan atau kita fikir sistem yang lain, dengan cara seperti ini kita ada transfer of wealth kepada orang miskin ataupun berpendapatan sederhana, lagi pun dari segi teori ekonomi bila terima BR1M, siapa untung, pekedai-pekedai untung, pasar tani untung, pasar malam untung, kedai runcit untung, maknanya private consumption bertambah dan ekonomi kita berkembang, kita ada teorinya dan tak payahlah pertikaikan BR1M.

Soal 1MDB, saya dah kata, kita akan bentangkan setelah siasatan dibuat oleh Ketua Audit Negara yang dah ambil fail, bulan depan akan disediakan laporan, kita akan ambil apa-apa ketetapan.




RM42 bilion yang dikatakan lesap, dia tak lesap. Tun Razak Exchange tu, 70 ekar, pergilah tengok, ada di situ, Bandar Malaysia seluas 500 ekar yang akan jadi pusat high speed rail di tengah bandar Kuala Lumpur.

Saya anggap lombong emas, itulah pusat pertumbuhan ekonomi yang tak ada lagi alternatif di Kuala Lumpur. Begitu juga TRX, yang jadi mangsa Tabung Haji.

Tabung Haji bukan bailout, cuma beli tanah dengan harga RM2,700 lebih, harga pasaran lebih tinggi, TH beli nak bangunkan dan bila dibangunkan, yang untungnya pendeposit. TH bukan ambilalih hutang 1MDB, TH beli tanah tapi oleh kerana ianya menjadi terlalu panas, terlalu kontroversi...terpulanglah pada TH. Kalau esok TH jual melalui tawaran terbuka TH dah boleh untung RM6 juta. Terpulanglah pada TH.

Saya dengar khabar TH nak pertahankan serahlah pada TH sebab kita jangan buat cara tak rasional, kita kena fikir sesuatu itu apa yang baik, pemikiran yang rasional menilai sesuatu. Hari ini kita berdepan dengan media sosial, inilah yang buat kita kalut ni, Perdana Menteri terdahulu tak ada media sosial.

Cabaran kita lebih, UMNO dan Barisan Nasional kena berdepan dengan cabaran yang baru, jadi kita mahir dalam bidang-bidang tertentu untuk kita jaga bagaimana imej kita terpelihara.

Saya nak beri tahu pada tuan-tuan bahawa kalau ada penyelewengan kita tetap ambil tindakan pada sesiapa pun, saya beri jaminan. Tapi biarlah proses itu berjalan.

Kalau nak kata saya tak buat agenda bumiputera, itu tak betul kerana tiap-tiap bulan kita mesyuarat agenda bumiputera, banyak yang kita buat, saya tak perlu terangkan satu persatu tapi pemimpin UMNO tahu, agenda bumiputera jangan bimbangm kita tetap teruskan dan kita mantapkan.

Dengan sokongan tuan-tuan ini, saya tak rasa saya keseorangan, bila saya baca kata-kata orang Bugis, itulah jadi pegangan saya.

Biar bumi berkeping dua namun saya tidak akan mengubah haluan. Saya akan teruskan perjuangan bukan kerana kuasa kerana saya beriltizam untuk melakukan yang sebaik mungkin agenda kita untuk negara, mesti kita teruskan. Impian Malaysia sebagai negara maju menjelang tahun 2020 wajib kita teruskan perjuangannya.

Perjuangan untuk pastikan untuk UMNO dan BN terus berkuasa di bumi yang bertuah ini wajib kita perjuangkan. Kita akan rapatkan barisan kita, kita akan bekerja lebih gigih dengan kuat lagi, kita pastikan PRU14 nanti BN akan berjaya dan bumi ini akan terus dipimpin oleh BN.

Terima kasih.

3 comments:

  1. kalau semuanya okay,kenapa rm jatuh teruk hingga sekarang,barang naik,kos sara hidup meningkat, kenapa GST dilaksanakan ketika rakyat masa ini mengeluh barang semua mahal.

    ReplyDelete
  2. Ucapan masuk bakul angkat sendiri, Tun Dr. Mahathir dalam ucapannya semasa menerangkan isu 1MDB serta isu isu penting negara pun tak memuji diri sendiri seperti Najib ini.

    Lihat ini:

    " Parti UMNO terlalu banyak jasanya, kita telah memimpin negara kita sekian lama, saya ucap terima kasih Tan Sri Abu Hassan memuji saya, dia kata, saya Perdana Menteri yang terbaik."

    Lepas tu asyik membohong rakyat, macam BRIM, sebenarnya BRIM ini bukanlah membantu rakyat sangat pun, adalah sikit-sikit bantu, tapi dalam jangka masa panjang, BRIM hanya akan menyebabkan negara menanggung perbelanjaan yang tinggi kerana perlu membelanjakan berbilion ringgit dan seterusnya berpuluh bilion ringgit bila jumlah penerima adalah ramai, kerana mat pet (penagih) dadah pun layak dapat BRIM, dapat wang BRIM pergi beli dadah.

    BRIM ini adalah gelembung ekonomi dan bom jangka ekonomi seperti yang berlaku di Greece, di Greece sebelum ini kerajaan nak dapatkan sokongan rakyat, buat cara macam BRIM ini jugalah, tapi akhirnya kerajaan tak mampu tanggung, maka bukan diteruskan pemberian seperti sebelumnya, malahan subsidi dipotong, perbelanjaan pembangunan makin tak ada, asyik bayar hutang, akhirnya Greece sendiri tak mampu nak bayar faedah pun terkial-kial, sampai kena gunakan wang agensi awam seperti wang hospital untuk bayar faedah bank.

    Kita melihat perkara ini dalam segi jangka masa panjang, melihat realiti di tempat-tempat lain, tetapi orang yang syok sendiri hanya tahu syok sendiri sahajalah, orang tak sokong dia pun, dia kata orang sokong dia, suruh pecacai bawa orang ramai naik bas ke ceramahnya, lepas tu kata orang ramai sokong dia pula.

    ReplyDelete
  3. Kah kah kah............ha ha ha...........

    ReplyDelete

komen² anda akan dipublish setelah disahkan..

terima kasih daun keladi..
esok² sudi la komen lagi..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...