Full Width CSS

ADUN Chuah Pandu Kereta Mabuk Langgar Pengundi Sendiri


Seorang lelaki mendakwa dia juga hampir dilanggar kenderaan dipandu Adun Chuah, Chai Tong Chai dalam insiden kemalangan membabitkan pasangan suami isteri Harun Johari, 39, dan Noraini Hamid, 26, malam Sabtu lalu di persimpangan ke Kampung Baru Sungai Nipah, di sini.

C Shankar, 38, berkata, beberapa minit sebelum kejadian, ketika dia dalam perjalanan pulang ke rumah dari Chuah telah bertembung dengan kereta yang dipandu Tong Chai.

Menurutnya, ketika kejadian, dia menunggang motosikal bersendirian dan hampir dilanggar Tong Chai di Kampung India.

“Kereta yang dipandunya makan jalan, nasib baik saya sempat elak, kalau tak mungkin saya mengalami nasib yang sama dengan pasangan suami isteri yang dilanggarnya.

“Saya cam kereta itu milik beliau melalui nombor pendaftarannya. Apabila saya tiba di rumah, saya ada terdengar bunyi ambulans dan saya syak berlaku kemalangan yang disebabkan oleh Adun itu kerana cara pemanduannya yang merbahaya," katanya.

Shankar berkata, sebagai Adun sepatutnya dia mempunyai kesedaran yang tinggi dalam aspek memandu kenderaan.

“Sekiranya dia mabuk dia dinasihatkan supaya tidak pandu kereta, kerana keadaan itu akan turut mengakibatkan orang lain terlibat dalam kemalangan dan ia memang tindakan yang salah sama sekali lebih-lebih lagi di lokasi kemalangan itu adalah kawasan selekoh, tidak boleh laju,” katanya.

Shankar memberitahu, dia juga telah ke balai polis untuk memberi keterangan berkenaan insiden kemalangan berkenaan.

Terdahulu, Tong Chai ketika dihubungi Sinar Harian kelmarin menafikan dia memandu dalam keadaan mabuk.

Ketika kejadian, Tong Chai memandu kereta jenis Nissan XTrail seorang diri dalam perjalanan pulang ke rumah selepas selesai menghadiri majlis jamuan makan malam di Bukit Pelandok.

Dalam kemalangan itu, Tong Chai tidak mengalami kecederaan manakala pasangan suami isteri yang menunggang motosikal cedera parah dan kini dirawat di Hospital Tuanku Ja,afar, Seremban.

Sementara itu, Ketua MCA Bahagian Telok Kemang, Datuk Sri Lin Chin Fui berkata, dia akan menghantar aduan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk mengkaji semula ciri keselamatan jalan di persimpangan Kampung Baru Sungai Nipah.

“Berkenaan kejadian kemalangan membabitkan Adun Chuah, ia masih dalam siasatan polis dan biar polis laksanakan tugasnya. Saya yakin polis akan siasat kejadian ini dengan teliti,” katanya.

Sumber : Sinar Harian

Post a Comment

0 Comments