Full Width CSS

Staf #RapidKL Mulakan Latihan Simulasi 24 Jam #MakkahMetro


Prasarana Malaysia Berhad, yang akan mengendalikan perkhidmatan rel Al Mashaaer Al Mugaddassah Makkah Metro untuk operasi haji di Tanah Suci Mekah tahun ini, akan mengadakan latihan simulasi operasi 24 jam bermula Ahad (30 Ogos) ini.

Latihan simulasi 24 jam itu akan diadakan berterusan selama 15 hari sehingga 17 September kecuali pada hari Jumaat dan Sabtu, yang mana akan digunakan untuk kerja-kerja penyelenggaraan tren dan trek sepanjang 18.1km itu.

“Dalam melaksanakan latihan simulasi ini, pihak kami akan turut menjalankan satu sesi pelan tindakan kecemasan atau ‘Emergency Response Plan’ bagi memastikan kesiapsiagaan pasukan kami,” kata Pengarah Operasi Al Mashaaer Al Mugaddassah Makkah Metro, Haji Muhamad Burhanordin Ismail.


Katanya, demi kepentingan para jemaah, perkhidmatan yang dikendalikan perlu di tahap yang terbaik kerana masa adalah sesuatu yang amat penting dalam urusan haji.

“Segalanya perlu dilakukan pada waktu tertentu yang telah ditetapkan dalam rukun dan wajib Haji. Kerana itu, pihak kami perlu memastikan setiap butiran diberi perhatian bagi memastikan perkhidmatan yang licin dan sempurna. Insya Allah,” kata Haji Burhanordin dalam satu kenyataan hari ini.

Para petugas yang akan terlibat dalam latihan simulasi berkenaan termasuk pengurus dan staf stesen, pemandu dan atendan tren serta para petugas mengawal pergerakan penumpang atau ‘crowd control’. Operasi Al Mashaeer Al Mugaddassah ini diterajui oleh staf Prasarana dengan disokong oleh kakitangan Express Rail Link (ERL) dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

“Kami sebenarnya telah mula menjalankan kerja-kerja menguji tren sejak 13 Jun lepas. Walaupun menghadapi beberapa cabaran, segala kerja-kerja ujian dan penyelenggaraan telah berjalan dengan baik.


“Bermula 17 Ogos lepas pula, kami menjalankan pula ‘operasi ujian’ atau ‘trial ops’ mengikut jadual-jadual dan situasi-situasi tertentu. Dan, sekarang, pada 30 Ogos ini, kita mulakan latihan simulasi 24 jam sebagai satu lagi fasa persiapan kami,” tambah Haji Burhanordin.

Katanya, operasi sebenar, yang akan melibatkan ratusan ribu penumpang sehari, akan bermula pada 7 Zulhijjah ini dan berakhir pada 13 Zulhijjah. Beroperasi hanya tujuh hari setahun, perkhidmatan rel Al Mashaaer Al Mugaddassah adalah unik kerana perkhidmatannya adalah berdasarkan kepada pergerakan jemaah Haji, yang perlu berhimpun di kawasan Arafah pada tanggal 9 Zulhijjah.

Daripada Arafah, para jemaah akan ke Mudzalifah pada keesokan dari untuk bermalam di sana sambil mengutip batu bagi melaksanakan ibadat melontar, yang dilaksanakan di Jamarat pada 10 Zulhijjah dan pada tiga hari berikutnya.

Dengan jarak keseluruhan 18.1km dengan sembilan stesen, laluan Al Mashaaer Al Mugadassah menghubungkan kita kawasan penting untuk urusan haji – Arafah, Muzdalifah dan Mina. Stesenstesennya adalah Arafah 1, Arafah 2, Arafah 3, Mudzalifah 1, Mudzalifah 2, Mudzalifah 3, Mina 1, Mina 2 dan Jamarat.

Pergerakan tren dikawal selia oleh para petugas di Bilik Kawalan Operasi, yang terletak di kawasan fasiliti Depoh di Arafah. Ia dilengkapi dengan worksyop penyelenggaraan, worksyop penyelenggaraan kerja-kerja berat, gudang penyimpanan barangan dan alat ganti, stesen janakuasa elektrik dan bangunan pentadbiran.

Post a Comment

0 Comments