Full Width CSS

[Video] Kenali Virus Zika #Kongsi


1. Apakah virus Zika?

Demam Zika adalah penyakit virus yang disebarkan oleh nyamuk yang membawa virus Zika (ZIKV).

Ia disebarkan kepada manusia melalui gigitan nyamuk Aedes iaitu vektor yang sama bagi demam denggi.

Penyakit ini menunjukkan tanda-tanda yang menyerupai demam denggi seperti demam, sakit otot, sakit sendi, sakit kepala, konjuktivitis serta ruam.
2. Bolehkah jangkitan Zika dirawat?

Pada masa ini tiada vaksin untuk mencegah daripada jangkitan dan tiada ubat khusus untuk merawat penyakit Zika.

Menurut WHO, mereka yang dijangkati dinasihati untuk minum air dengan kuantiti yang banyak serta merawat kesakitan badan serta demam dengan ubat-ubatan yang biasa.


3. Bagaimanakah ia merebak?

Disebarkan melalui nyamuk aedes - bergantung kepada spesis.

Aedes jenis aegypti, paling banyak menyebarkan Zika. Aedes jenis ini ditemui di Florida, Gulf Coast dan Hawaii.


Namun baru-baru ini, ia turut ditemui di Washington DC yang bercuaca panas.

Aedes jenis albopictus dikatakan turut mampu menyebarkan virus Zika tetapi tiada kajian kukuh mengenainya. Jenis ini boleh ditemui di utara New York dan Chicago pada musim panas.

Nyamuk aedes biasanya menggigit pada awal pagi dan senja. Ia membiak dalam takungan air jernih dan memerlukan masa seminggu untuk menjadi nyamuk dewasa.


4. Siapa berdepan risiko paling tinggi?

Bayi dalam kandungan paling berisiko sekiranya si ibu dijangkiti virus Zika.

Zika boleh tersebar menerusi jangkitan kuman kepada janin dan peringkat janin yang paling berisiko dijangkiti virus tersebut adalah dalam tempoh kehamilan tiga bulan pertama.

Sindrom microcephaly disebabkan virus zika akan menyebabkan seseorang kanak-kanak berhadapan kecacatan mental sehingga membataskan kecerdasan pergerakan otot seumur hidup mereka.


5. Langkah-langkah pencegahan

Berikut adalah langkah-langkah pencegahan yang dikemukakan oleh KKM:
  • Elakkan dari gigitan nyamuk dengan memakai baju berlengan panjang dan seluar panjang, menggunakan repellent (bahan untuk mengelakkan/menangkis nyamuk pada kulit yang terdedah) dan tidur di tempat yang berkelambu
  • Elakkan daripada melakukan aktiviti luar sepanjang tempoh waktu puncak gigitan nyamuk aedes ini, iaitu beberapa jam sebelum senja dan selepas subuh.
  • Sekiranya terdapat individu yang menunjukkan tanda dan gejala penyakit ini semasa berada di negara dijangkiti atau setelah pulang ke Malaysia, maka segeralah mendapatkan rawatan di klinik atau hospital yang berhampiran

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, pihaknya akan terus mempertingkatkan pemantauan jangkitan virus Zika di Malaysia.

Pada masa sama, orang ramai juga dinasihati untuk mempertingkatkan aktiviti mencari dan memusnah bagi mengurangkan tempat pembiakan nyamuk Aedes di kawasan rumah masing-masing dan persekitarannya.

Post a Comment

0 Comments