Full Width CSS

Esok Penentuan Siapa Yang DiPertuan Agong Seterusnya


Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, mempengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-242 di Istana Negara.

Mesyuarat selama dua hari itu dihadiri semua Raja Melayu dengan diiringi Menteri Besar masing-masing.

Yang Dipertua Negeri Melaka, Pulau Pinang dan Sabah hadir pada mesyuarat itu diiringi Ketua Menteri masing-masing.

Sementara itu, Mesyuarat Majlis Raja-Raja Khas akan diadakan Jumaat ini bagi memilih Yang di-Pertuan Agong ke-15.

Ketika ini, jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-14 disandang oleh Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berkuat kuasa 13 Dis 2011 dan tempoh perkhidmatan Tuanku Abdul Halim akan berakhir 12 Disember.

Jika berdasarkan sistem penggiliran yang ditetapkan Majlis Raja-Raja, Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V berada pada giliran sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15.

Terdapat beberapa faktor yang akan dipertimbangkan oleh Majlis Raja-Raja menerusi undi rahsia bagi menentukan pengganti seterusnya seperti baginda yang dilantik berkenan untuk menjadi Yang di-Pertuan Agong dan tidak mengalami kelemahan atau ketidakupayaan mental.

Selain itu, baginda yang dilantik adalah merupakan raja yang berada di kedudukan teratas, mendapat sokongan sekurang-kurangnya lima raja lain serta bukan seseorang yang telah memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong selama dua penggal berturut-turut.

Mengikut kebiasaan sebelum proses pemilihan berlangsung, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja terlebih dahulu akan menanyakan raja yang seterusnya dalam senarai giliran mengenai kesediaannya untuk dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Sembilan raja berkenaan kemudian akan membuat undi rahsia dan sekiranya raja dalam senarai itu mendapat lima undian, baginda dengan rasminya dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong seterusnya.

Proses yang sama diulangi untuk memilih Timbalan Yang di-Pertuan Agong, yang akan memangku jawatan Yang di-Pertuan Agong semasa ketiadaan baginda di dalam negara atau kerana keuzuran.


Post a Comment

1 Comments

  1. Assalamulaikum Admin,

    Mohon untuk dimasukkan blog saya ke blok tuan. Blog saya:

    biarlembuyangjadilembu.blogspot.com

    Sekiranya sudah dimasukkan harap maklumkan kat email saya: biarlembuyangjadilembu@gmail.com

    Terima kasih

    ReplyDelete

komen² anda akan dipublish setelah disahkan..

terima kasih daun keladi..
esok² sudi la komen lagi..