Full Width CSS

Prasarana Komited Tingkatkan Kepakaran Belia Dalam Bidang Bas Elektrik #RapidKL


Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) mengulangi komitmen akan terus bergading bahu dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta agensi-agensi dan institut-institut latihan kendaliannya untuk membantu meningkatkan kepakaran golongan belia khususnya dalam bidang bas elektrik, yang bakal menjadi teknologi utama dalam pengangkutan awam pada masa depan.

Ketika menyatakan komitmen ini, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana yang baru, Puan Masnizam Hisham, berkata pihaknya turut bersedia menyediakan program latihan kepada operator-operator bas lain untuk penyelenggaraan bas elektrik di Akademi Bas Rapid Bus.
Berucap pada Majlis Pelancaran Kampus Satelit IKTBN Dusun Tua @ Rapid Bus dan Perintis Pelaksana Kursus Penyelenggaraan Bas Elektrik di Kompleks Rapid Bus Cheras Selatan di sini semalam (22 Januari), Masnizam berkata program berkenaan akan membuka pintu kepada kerjasama dalam pelbagai bidang baru.

“Kami berharap kolobarasi Prasarana dan Kementerian Belia dan Sukan, IKTBN serta program hari ini akan menjadi pencetus kepada pelbagai bidang baru untuk meluaskan kepakaran di bidang pengendalian bas elektrik ini,” kata Masnizam dalam ucapan pertama pada majlis awam sejak dinamakan sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana yang baru pada 18 Januari lepas.
Image may contain: 7 people, people smiling, people standing
Katanya, komitmen Prasarana untuk meningkatkan pembangunan teknologi dan penggunaan bas elektrik adalah selaras dengan aspirasi Tranformasi Nasional 50, yang diutarakan oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Brig. Jen. Khairy Jamaluddin untuk bandaraya Kuala Lumpur dan Lembah Klang bebas daripada penghasilan karbon dioksida oleh kenderaan menjelang 2050.

Bertugas sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana Integrated Management and Engineering Services (PRIME) sebelum ini, Masnizam mengambil alih daripada Dato’ Sri Azmi Abdul Aziz, yang menjawat jawatan berkenaan daripada 2 Januari 2015 hingga 31 Disember 2017.

Masnizam berkata Akademi Bas mempunyai fasiliti dan kepakaran yang diperlukan untuk memberikan latihan yang mantap untuk bidang kejuruteraan dan pengendalian bas dan mendapat pengiktirafan daripada Jabatan Pembangunan Kemahiran.

“Akademi Bas sememangnya mengalu-alukan mana-mana operator bas, agensi kerajaan, serta mana mana pihak yang berminat untuk menghantar para pekerja mereka untuk menimba ilmu dan mengikuti program latihan yang sesuai.

“Dalam konteks majlis pada hari ini, kami berharap untuk memastikan pengeluaran konsisten tenaga pakar dalam penyelenggaraan bas elektrik yang memenuhi keperluan industri pada masa sekarang dan juga pada masa depan,” tambah Masnizam.

Program berkenaan adalah hasil daripada Memorandum Persefahaman yang dimeterai antara Rapid Bus dan Kementerian Belia dan Sukan pada 16 Mei 2016, bermula dengan program ‘Bootcamp’ pencarian Kapten Bas di kalangan para belia.

Daripada program berkenaan, kerjasama antara Rapid Bus melalui Akademi Bas dan pihak kementerian khususnya dengan Institut Kemahiran Teknikal Belia Negara (IKTBN) Dusun Tua telah berkembang maju untuk meliputi pelbagai program-program lain.

Image may contain: one or more peopleIa termasuk Program Latihan sangkutan industri bagi Tenaga Pengajar Institut Latihan Kementerian Belia Dan Sukan (ILKBS), Program Peningkatan Kemahiran Tenaga Pengajar (PPK) dan Program Sistem Latihan Dual Nasional bagi pekerja Rapid Bus dalam bidang-bidang Diploma Kemahiran Malaysia bidang automotif Tahap 4; Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 3 untuk Bidang Penyelenggaraan Kenderaan; dan Program Latihan di Tempat Kerja bagi para pelajar bidang penyelenggaraan kenderaan perdagangan.

Kini, tercetus pula program Kampus Satelit IKTBN Dusun Tua @ Rapid Bus untuk kursus penyelenggaraan bas elektrik, di mana perantis yang terlibat akan di tauliahkan dengan Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 3.

Berucap pada majlis berkenaan, Khairy berkata bahawa pihak kementerian selaras dengan transformasi TVET dalam menghadapi cabaran baru di ambang era Revolusi Industri 4.0.

Katanya, Bahagian Pembangunan Kemahiran Belia (BPKB) mengamalkan polisi bekerjasama dengan pihak industri dalam merangka kurikulum dan silibus pengajian bagi semua bidang di ILKBS yang berorientasikan industri masa depan.

“Dengan itu, pihak BPKB perlu memperkukuh dan memperhebatkan lagi kerjasama strategik Public-Private Partnership melalui pelbagai bentuk seperti, Industri menyumbang kepakaran atau mesin dan peralatan serta dalam melatih tenaga kerja mahir dalam bidang-bidang tertentu.

“Melalui kerjasama Public-Private Partnership, KBS tidak lagi menggunakan pendekatan silo dalam merancang dan melaksanakan program-program kemahiran. Malah pendekatan horizontal digunapakai bagi mengoptimumkan penggunaan sumber-sumber yang ada dengan cekap dan berkesan bagi mendapatkan outcome yang diharapkan terutama dalam memastikan kebolehpasaran graduan ILKBS melebihi 90 peratus.

“Melalui pendekatan ini juga, Bahagian Pembangunan Kemahiran Belia melalui IKTBN Dusun Tua telah bersama-sama Rapid Bus dan Prasarana menjalinkan kerjasama sehingga tertubuhnya Kampus Satelit IKTBN Dusun Tua @RapidBus bagi melaksanakan Program Sijil Kemahiran Malaysia Bidang Penyelenggaraan Bas Elektrik Tahap 3,” katanya.

Di dalam ucapannya, Khairy turut mengucapkan tahniah kepada Masnizam atas pelantikan di mana beliau melahirkan keyakinan bahawa Kumpulan Prasarana akan terus berkembang maju di bawah kepimpinan baru itu.

Post a Comment

0 Comments