Full Width CSS

[Video] Perumahan Untuk Semua #NegarakuMalaysia @NajibRazak



Satu daripada fokus utama Kerajaan Barisan Nasional adalah menyediakan perumahan mampu milik kepada setiap lapisan masyarakat. Sejak 2009 ketika saya mula memegang jawatan Perdana Menteri, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan bagi mencapai hasrat ini, merangkumi segenap lapisan masyarakat.

Setiap bajet Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan dana bagi merealisasikan aspirasi rakyat berkaitan perumahan, dan terbaru dalam Bajet 2018, sejumlah RM2.2 bilion diperuntukkan bagi meneruskan usaha menyediakan perumahan untuk semua.
Bagi golongan berpendapatan rendah atau B40, Kerajaan melaksanakan, antaranya; Program Perumahan Rakyat yang disewakan atau dijual pada harga amat rendah antara RM35,000 hingga RM42,000, dengan kos selebihnya dibiayai subsidi Kerajaan.

Manakala bagi golongan B40 tanpa rumah atau tinggal di rumah yang daif tetapi mempunyai tanah, program Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia disediakan di mana Kerajaan membina rumah bagi mereka pada kos cuma RM65,000 dengan subsidi Kerajaan sebanyak RM20,000 beserta subsidi 2% kadar faedah pinjaman.

Selain itu terdapat juga Rumah Idaman Rakyat yang dibina atas tanah kurniaan Kerajaan Negeri atau Persekutuan pada harga tidak melebihi RM350,000 dengan jualan diutamakan kepada pembeli Orang Kelainan Upaya atau Ibu Tunggal.

Bagi golongan berpendapatan 40 peratus sederhana atau M40, Kerajaan menyediakan projek Perumahan Rakyat 1Malaysia atau PR1MA yang dibina di kawasan strategik di seluruh negara dan dijual pada harga antara RM100,000 hingga RM400,000.

Terdapat juga Rumah Wilayah Persekutuan yang mensasarkan rakyat Malaysia yang menetap atau bekerja di Wilayah Persekutuan yang ingin membeli rumah pertama mereka. RUMAWIP dijual pada harga daripada RM63,000 hingga RM300,00.


Bagi penjawat awam, Kerajaan melaksanakan Program Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia PPA1M, terutamanya buat penjawat awam berpendapatan rendah dan sederhana yang dijual pada harga antara RM90,000 hingga RM300,000 seunit.

Kerajaan turut memperkenalkan pelbagai skim bagi membantu rakyat memiliki rumah, salah satunya Skim Rumah Pertamaku, yang dilaksanakan bagi membantu golongan muda baru bekerja dengan pendapatan kurang RM5,000 untuk mendapat pembiayaan 100%, bermakna mereka tidak perlu membayar wang pendahuluan atau deposit.

Bercakap mengenai deposit, terbaru saya mengumumkan skim MyDeposit, di mana Kerajaan membantu golongan yang ingin membeli rumah tetapi tidak mempunyai wang pendahuluan dengan membayar deposit tersebut bersamaan 10% daripada nilai rumah di bawah RM500,000 atau sehingga jumlah maksimum RM30,000.

Ini sebahagian daripada banyak lagi inisiatif yang telah Kerajaan laksanakan, kesemuanya atas dasar keprihatinan Kerajaan kepada keinginan dan keperluan rakyat untuk memiliki kediaman sendiri, daripada golongan berpendapatan rendah kepada golongan berpendapatan sederhana, malah juga kepada mereka yang mungkin tidak mempunyai wang yang cukup untuk membayar deposit. Semua golongan diberikan perhatian, tiada yang ketinggalan.

Namun, malang sekali, seperti juga nasib yang menimpa BR1M, Klinik 1Malaysia, subsisi pendidikan dan kesihatan serta bantuan-bantuan Kerajaan lain, kesemuanya dijadikan modal politik murah oleh pembangkang.

Kepada mereka ini, daripada terus menyebarkan berita palsu serta fitnah memburukkan Kerajaan, buatlah kerja yang bermanfaat, uar-uarkan skim perumahan ini kepada rakyat, sekurang-kurangnya dapat membantu mereka yang ingin memiliki kediaman sendiri.

Janganlah kerana nama pembangkang, segala-galanya pun ingin dibangkang. Inisiatif dan usaha baik yang Kerajaan laksanakan, panjangkanlah kepada rakyat. Walaupun pembangkang tak berupaya laksanakan dan tak dapat buat, sekurang-kurangnya boleh bawa rakyat kepada mereka yang berupaya deliver, yakni Barisan Nasional.

Post a Comment

0 Comments