Tarikh Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) terus menjadi teka-teki banyak pihak termasuk media apabila Datuk Seri Najib Tun Razak masih belum membayangkan bila ia akan berlangsung.
Sambil berseloroh, Perdana Menteri berkata, beliau masih menunggu ‘petanda’ yang sesuai untuk membuat keputusan tersebut.
“Saya tidak tahu. Saya sedang menunggu ‘ilham’ untuk memikirkan bila masa yang sesuai (untuk adakan PRU-14),” katanya.
Beliau yang juga Presiden UMNO berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) parti di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Timbalan Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Setiausaha Agung, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Bendahari Agung, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak; Ketua Wanita, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil dan Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin.
Najib menambah, tarikh PRU-14 tidak seharusnya menjadi isu selagi tidak bertentangan dengan Perlembagaan sehingga Jun ini.
“Jun nanti sekiranya PRU-14 masih belum lagi diadakan maka Parlimen dengan sendirinya terbubar,” ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri memberitahu, beliau berpuas hati dengan tahap kesiapsiagaan jentera UMNO untuk berdepan PRU-14.
Sehubungan itu, beliau berharap momentum sedemikian dipertahankan sehingga tarikh sebenar pilihan raya umum berlangsung nanti.
“Tahap kesiapsiagaan UMNO adalah lebih tinggi pada hari ini.
“Mudah-mudahan kesungguhan ini diteruskan sehingga Parlimen dibubarkan nanti,” katanya.
Beliau berkata, berbanding pembangkang yang nampak rapuh sejak kebelakangan ini disebabkan masalah dalaman parti, rakyat seharusnya sudah boleh menilai siapa yang mampu meneruskan transformasi negara.
1 Comments
Tetap undi BN utk pru14 nih!
ReplyDeletekomen² anda akan dipublish setelah disahkan..
terima kasih daun keladi..
esok² sudi la komen lagi..